Lawatan ke Pelangai, memang tugas saya sebagai menteri - Dr Zaliha

Dr Zaliha - Foto Bernama
Dr Zaliha - Foto Bernama
A
A
A

BENTONG - Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa menafikan lawatan kerja beliau ke Pelangai bermotifkan politik dan mempunyai kaitan dengan pilihan raya kecil (PRK) kawasan itu.

Beliau turut menolak dakwaan ahli politik pembangkang jentera kerajaan digunakan untuk kempen PRK Pelangai yang berakhir Jumaat.

"Sebab kalau saya turun untuk apa program pun, saya akan ambil peluang untuk turun dan melihat sendiri fasiliti kerajaan.

"Itu memang tugas saya...jadi kita datang ambil peluang. Lepas daripada kerja (rasmi) baru kita buat kerja-kerja selain daripada itulah. Kerja-kerja politik dan sebagainya

"Tetapi yang (lawatan) ini mana ada (berkaitan PRK). Jadi kita datang khas untuk saya sebagai menteri dan ahli Parlimen," katanya ditemui pemberita selepas lawatan kerja ke Klinik Kesihatan Chemomoi di sini, pada Jumaat.

Pada Khamis, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan pemantauan bagi pemberian insentif sama ada oleh kerajaan negeri mahupun kerajaan Persekutuan kepada rakyat sepanjang kempen berlangsung perlu dilakukan.

Katanya, selain penggunaan jentera kerajaan serta kehadiran pegawai-pegawai agensi kerajaan negeri, pemberian insentif ibarat 'durian runtuh' kepada rakyat yang akan membuang undi juga perlu dipantau.

Ahli Dewan Undangan Negeri Cheka itu berkata, tata kelola tersebut jelas bertentangan dengan semangat perjuangan reformasi selama 25 tahun dulu yang dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Dr Zaliha berkata, lawatan kerja beliau di Klinik Kesihatan Chemomoi dan Klinik Kesihatan Telemung, khusus untuk melihat fasiliti projek Kementerian Kesihatan (KKM) di kawasan itu.

Menurutnya, hasil lawatan kerja tersebut, terdapat dua projek sakit yang diberi perhatian iaitu projek Klinik Kesihatan Telemung dan pusat dialisis Chemomoi yang mengalami kelewatan.

Katanya, Klinik Kesihatan Telemung kini hanya mencapai 30 peratus siap berbanding sasaran sepatutnya, lebih 60 peratus.

"Kita dah jumpa secara terus dengan kontraktor, mereka memberi jaminan akan mempercepatkan projek dan siap pada akhir tahun ini dengan menambah jumlah pekerja.

"Di Klinik Kesihatan Chemomoi, ada projek sakit melibatkan pusat dialisis. Kita jangka bulan September siap tapi kita tamatkan kontraktor kerana baru 50 peratus siap. Tender akan dibuka semula kepada kontraktor penyelamat, harap boleh siap tahun depan," katanya.

Beliau turut memaklumkan penambahan kemudahan mesin pemeriksaan sinar X di Klinik Kesihatan Chemomoi.