Anak saudara didakwa hilang selepas COD iPhone

Hantaran Instagram ibu saudara Muhammad Daniel yang mendakwa lelaki itu sempat membuat panggilan video dengan tunangnya sebelum gagal dihubungi. Muhammad Daniel (kanan).
Hantaran Instagram ibu saudara Muhammad Daniel yang mendakwa lelaki itu sempat membuat panggilan video dengan tunangnya sebelum gagal dihubungi. Muhammad Daniel (kanan).
A
A
A

GEORGE TOWN - [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki didakwa tidak pulang ke rumahnya di Kuala Lumpur sejak 3 Oktober lalu selepas membuat urusan penjualan telefon dengan pelanggan yang tidak dikenalinya.

Muhammad Daniel Haikal yang berusia 27 tahun dikatakan kali terakhir dikesan berada di negeri ini.

Menurut hantaran Instagram ibu saudaranya, Eyraswan, Muhammad Daniel sempat membuat panggilan video dengan tunangnya untuk meminta tolong sambil berlari dan menangis.

Susulan daripada itu, semakan rekod log aktiviti mendapati, lelaki tersebut membuat panggilan video berkenaan di George Town.

"Anak buah saya, Danial, sudah hilang sejak beberapa hari lalu selepas pergi COD iPhone dengan customer yang tidak dikenali.

"Dia sempat video call dengan tunangnya dan meminta tolong untuk diselamatkan. Dalam masa sama dia menangis dan berlari untuk mencari jalan keluar dari tempat tersebut (tidak dinyatakan).

"Tetapi video call terputus sebab bateri telefon habis. Dia tak sempat beritahu di mana lokasinya," katanya.

Eyraswan turut meminta orang ramai menyebarkan berita kehilangan anak saudaranya itu agar Muhammad Daniel dapat ditemui segera.

Artikel Berkaitan:

Selain ibu saudara, ibu Muhammad Daniel turut membuat hantaran di media sosial agar anaknya itu kembali ke kediaman mereka segera.

"Semoga Allah permudahkan urusan anakku, Muhammad Daniel Haikal. Semua tempat mama cari abang, tak jumpa. Semoga abang cepat balik.

"Ya Allah ya Tuhan, lindungilah anakku. Jauhkanlah dia dari benda-benda yang tak baik," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong ketika dihubungi berkata, setakat ini, tiada laporan berkenaan orang hilang diterima oleh pihaknya.

"Saya sudah semak, tiada laporan di sini.“

"Bagaimanapun, jika diperlukan bantuan dari Polis Pulau Pinang, kita akan bantu. Setakat ini, Ibupejabat Polis Daerah Timur Laut tidak menerima sebarang maklumat lanjut," katanya.

Sementara itu, difahamkan, keluarga lelaki berkenaan telah membuat laporan polis di Kuala Lumpur berhubung kehilangannya itu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!