Lelaki didakwa bunuh anak kekasih

Tertuduh ketika dibawa polis ke Mahkamah Majistret Butterworth, pada Rabu.
Tertuduh ketika dibawa polis ke Mahkamah Majistret Butterworth, pada Rabu.
A
A
A

BUTTERWORTH - [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Butterworth, di sini atas pertuduhan membunuh seorang bayi berusia setahun pada Ogos lalu.

S Nagendren, 34, hanya mengangguk faham sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Fatin Mohd Farid.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah membunuh dengan menyebabkan kematian ke atas Muhamad Hayder Mukhriz Abdul Fatah yang berusia setahun.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 23 Ogos hingga 26 Ogos lalu di sebuah rumah di Pangsapuri Ampang Jajar, Butterworth.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman mati.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Asma' 'Amira Shahidani manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 6 Mac 2024 untuk tarikh sebutan semula kes untuk laporan kimia dan bedah siasat.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan seorang ibu berusia 16 tahun ditahan bersama lapan individu lain bagi membantu siasatan berhubung kes penderaan terhadap seorang bayi lelaki berusia setahun sehingga meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, kesemua yang ditahan merupakan warga tempatan berusia lingkungan 16 hingga 48 tahun.

Menurutnya, semua suspek yang terdiri daripada empat lelaki dan lima wanita itu ditahan secara berasingan di sekitar Seberang Perai pada Ahad.

"Daripada sembilan suspek, salah seorang adalah teman lelaki ibu muda berkenaan dan dia merupakan suspek utama berusia 34 tahun. Suspek yang tidak bekerja ini percayai menjaga mangsa ketika ibunya keluar bekerja," katanya.