KPDN, MFA disaran perkenal dasar francais negara - Ahmad Zahid

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Malam Anugerah Francais Malaysia 2023 malam ini. - Foto Bernama.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Malam Anugerah Francais Malaysia 2023 malam ini. - Foto Bernama.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Persatuan Francais Malaysia (MFA) disarankan bekerjasama untuk memperkenalkan Dasar Francais Negara, bagi memperkasakan industri francais.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, dasar baharu itu, perlu diwujudkan agar memastikan matlamat negara untuk mencapai RM500 bilion perolehan bagi industri francais pada 2030, dapat direalisasikan.

"Walaupun saranan ini mungkin agak berat...tetapi saya amat yakin bahawa matlamat ini boleh dicapai, jika semua pihak komited melakukannya.

"Di bawah kepimpinan (Pengerusi Persatuan Francais Malaysia (MFA) Datuk Radzali Hassan dibantu oleh rakan-rakan seperti HDC (Halal Development Corporation Berhad) dan pemain industri yang lain, saya yakin matlamat ini dapat dicapai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Francais Malaysia (AFM) 2023 anjuran MFA, di sini malam ini yang turut dihadiri Radzali.

Ahmad Zahid berkata, Dasar Francais Negara perlu menetapkan dua sasaran, iaitu mengembangkan pasaran domestik sedia ada menerusi penganjuran pameran tempatan, termasuk pameran produk halal bertujuan untuk padanan perniagaan.

"Ini bagi menggali potensi untuk pemegang francais untuk memfrancaiskan kepada masyarakat yang mahu menyertai industri francais ini. Sasaran kedua pula perkembangkan francais ini ke peringkat luar negara,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, kolaborasi antara kementerian terlibat, agensi kerajaan, pemain industri serta persatuan berkaitan, harus dilakukan bagi mencapai sasaran itu.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, beliau juga mencadangkan MFA dan pihak berkaitan lain untuk menganjurkan ASEAN Franchise Conference di negara ini berikutan Malaysia akan menjadi hos bagi persidangan ASEAN pada tahun hadapan, untuk menjemput ramai lagi pemain industri francais dalam kalangan ASEAN.

"Saya harap jawatankuasa induk untuk mengadakan ASEAN Franchise Conference dapat dibentuk dengan segera,” katanya dan memaklumkan mesyuarat mengenai perkara itu dijangka diadakan selewatnya November ini. - Bernama.