Johari akan pastikan laporan projek LCS dibahas di Parlimen

Johari - Foto Bernama
Johari - Foto Bernama
A
A
A
KUALA LUMPUR - Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul berkata, beliau akan memastikan laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dibahas di Parlimen.

Beliau berkata, PAC telah memberi komitmen untuk memantau perkembangan projek pembinaan LCS itu dan akan menyediakan laporan berkaitan perkara itu untuk dibentang di Parlimen.

Johari berkata, beliau telah mengadakan lawatan kerja ke Limbungan Boustead Naval Shipyard, Markas TLDM di Lumut, Perak hari ini dengan diiringi Pengerusi PAC Datuk Mas Ermieyati Samsudin, Naib Pengerusi PAC Wong Shu Qi dan ahli lain jawatankuasa itu.

"Saya diberi taklimat perkembangan pembinaan Kapal Tempur Pesisir oleh Pengarah Pasukan Projek LCS TLDM Franklin Jeyasekhar Joseph dan Ketua Pegawai Eksekutif Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd Azhar Jumaat," menurutnya dalam hantaran di media sosial X (Twitter).

Pada 21 September lepas, Mas Ermieyati berkata, laporan Kemajuan Projek Pembinaan Kapal Peronda Generasi Kedua-LCS adalah antara empat laporan yang akan dibentang pada Mesyuarat Ketiga Dewan Rakyat yang dijadual bersidang bermula 9 Oktober ini.
Artikel Berkaitan:


Katanya laporan itu adalah bagi tempoh Oktober 2022 hingga Mei 2023. - Bernama.