FSGMAM kesal pembentangan RUU Kawalan Produk Merokok dipercepat

Laporan Sinar Harian pada Khamis.
Laporan Sinar Harian pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Persekutuan Persatuan Peniaga Barang Runcit Malaysia (FSGMAM) kesal dengan keputusan kerajaan untuk mempercepatkan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 dalam persidangan Dewan Rakyat akan datang.

Presidennya, Hong Chee Meng berkata, rancangan itu dilihat sebagai tidak wajar kerana tidak tahu bagaimana pelaksanaan cadangan Dasar Generasi Penamat (GEG) itu dilaksanakan.

“Kebimbangan utama kami adalah bagaimana GEG akan dilaksanakan. Ini tidak pernah dibincangkan dengan mana-mana pemain runcit dan kami sebagai barisan hadapan yang bakal melaksanakan cadangan tersebut.

“Kami tidak tahu apakah peruncit akan diminta memeriksa kad pengenalan setiap orang dewasa yang lahir selepas 2007 di masa hadapan atau jika akan ada aplikasi digital seperti MySejahtera setiap kali mereka membeli rokok atau produk vape,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Ia susulan pengumuman Kementerian Kesihatan (KKM) yang akan membuat bacaan kali kedua RUU tersebut yang mengekalkan dasar GEG di Dewan Rakyat pada Selasa ini.

Jelas Chee Meng, ahli persatuan itu juga bimbang dengan pelaksanaan peraturan yang tidak jelas akan menyebabkan mereka didenda berat kerana ada laporan menyatakan bahawa RUU yang disemak itu merangkumi denda yang lebih tinggi untuk pembekal.

“Tiada perincian bagaimana ia akan dilaksanakan dan terdapat denda yang sangat tinggi. Ini akan menyebabkan kekacauan dalam sektor peruncitan dan setiap peruncit akan berdepan risiko.

“Selain itu, apa akan berlaku jika ada kalangan pengguna yang menggunakan ID palsu atau membayar pembeli peribadi untuk membeli produk tersebut. Kami tidak pasti bahawa peruncit akan dihukum dalam keadaan sedemikian juga.

Artikel Berkaitan:

“Tiada sesi taklimat dengan KKM atau perbincangan dengan sektor peruncitan mengenai semua ini. Mereka tidak memberitahu kami apa-apa mengenai perkara penting seperti itu. Kami mencadangkan agar GEG ditangguhkan dahulu sehingga kementerian membuat rancangan teratur,” ujar beliau.

Tambahnya, kerajaan juga harus memberi tumpuan kepada memudahkan prosedur untuk menjalankan perniagaan dan tidak memperkenalkan lebih banyak dasar yang rumit.

“Inilah masanya perniagaan perlu disokong kerajaan apabila ia berkaitan dengan kemudahan menjalankan perniagaan dan tidak dikenakan prosedur yang membebankan,” jelasnya.

Pada Khamis, Sinar Harian melaporkan RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 akan dibentangkan untuk bacaan kedua di Dewan Rakyat, Selasa depan.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa dilapor berkata, pembentangan bacaan kedua RUU itu adalah suatu bentuk komitmen berterusan KKM dalam memastikan kesihatan dan keselamatan rakyat Malaysia dilindungi daripada bahaya produk merokok.