Mahasiswa perlu fahami sejarah, jadi rakyat bertanggungjawab

Amirudin pada majlis Minggu Perkasa Putra sesi 2023/2024 di UPM pada Rabu malam.
Amirudin pada majlis Minggu Perkasa Putra sesi 2023/2024 di UPM pada Rabu malam.
A
A
A

SHAH ALAM - Mahasiswa diseru supaya benar-benar memahami sejarah diri, komuniti dan negara kerana ia aspek penting untuk menjadi warganegara yang bertanggungjawab.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perkara itu bukan hanya wajar difahami ahli sosiologi atau individu bergiat dalam bidang sains sosial, sebaliknya mahasiswa yang bakal menjadi pemimpin negara pada masa depan.

Beliau berkongsi pesanan tersebut di laman Facebooknya pada Khamis selepas menghadiri Minggu Perkasa Putra sesi 2023/2024 diadakan di Universiti Putra Malaysia (UPM) pada Rabu malam.

Selain itu, Menteri Besar turut berpesan kepada anak-anak muda bakal pemimpin negara itu akan pentingnya asas ilmu tersebut yang akan menjadi panduan kepada kita untuk membuat keputusan dalam hidup.

"Saya berkongsi beberapa pengalaman dan cabaran yang telah saya lalui ketika menjadi pemimpin seperti pandemik Covid-19 yang melanda, banjir di Selangor pada 2021 dan 2022, dan bagaimana Selangor berjaya meletakkan keutamaan dan mengenal pasti masalah untuk mengatasi semua cabaran ini.

"Justeru, saya berharap mereka bersedia menghadapi dunia yang baharu di universiti. Tahu dan fahami tujuan keberadaan mereka di universiti, tetapkan keutamaan dalam garis hidup dan hidup dalam harmoni agar dapat menjalani kehidupan lebih baik serta melangkah jauh setelah tamat pengajian nanti. InsyaALLAH," katanya dalam satu hantaran di laman rasmi media sosialnya itu pada Khamis.

Pada Rabu, Amirudin yang juga alumni UPM turut melancarkan pek makanan sedia dimakan (RTE) yang dihasilkan badan bukan kerajaan (NGO) MyFundaction dengan kerjasama Pusat Perhubungan Alumni di UPM.

"Alhamdulillah saya diberikan kesempatan untuk kembali ke UPM semalam sebagai salah seorang alumni UPM untuk bersama-sama dengan lebih 3,500 mahasiswa dan mahasiswi baharu UPM sesi akademik 2023/2024.

Artikel Berkaitan:

"Semoga para anak siswa dan siswi dipermudahkan urusan untuk mencapai kejayaan di menara gading," tambahnya dalam hantaran sama di laman rasmi media sosial beliau itu.