PTPTN serah manfaat Geran Sepadan percuma kepada pendeposit

Ahmad Dasuki (kiri) menyampaikan replika kad manfaat Geran Sepadan Simpan SSPN Prime kepada pendeposit Simpan SSPN Prime, Shah Hirunizam.
Ahmad Dasuki (kiri) menyampaikan replika kad manfaat Geran Sepadan Simpan SSPN Prime kepada pendeposit Simpan SSPN Prime, Shah Hirunizam.
A
A
A

SHAH ALAM - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melalui Program Sinar Kasih menyerahkan manfaat Geran Sepadan berjumlah RM9,513.57 kepada pendeposit, Shah Hirunizam Kadir, 45, di kediamannya di Pasir Gudang, Johor pada Rabu.

Ia sebagai usaha untuk memperkasakan hebahan mengenai geran tersebut yang merupakan antara keistimewaan produk Simpan SSPN Prime dan membantu meringankan beban golongan memerlukan.

PTPTN dalam satu kenyataan berkata, Shah Hirunizam Kadir merupakan seorang bapa yang sangat mementingkan pendidikan dan masa depan dengan membuat perancangan kewangan sejak awal usia anak-anaknya.

Menurut kenyataan itu, Shah Hirunizam membuka akaun Simpan SSPN Prime pada 21 September 2005 untuk dua anaknya dan hasil simpanan itu ternyata mampu mengukir senyuman apabila menerima pemberian Geran Sepadan secara percuma.

“Pemberian Geran Sepadan ini digunakan untuk pembiayaan kos pendidikan anak kedua, Aisyah Shah Hirunizam, 18, bagi melanjutkan pengajian di Universiti Putra Malaysia (UPM) peringkat Asasi dalam jurusan Sains Pertanian,” kata kenyataan itu.

PTPTN menjelaskan, instrumen simpanan melalui Simpan SSPN diwujudkan sebagai platform terbaik untuk menggalakkan masyarakat membuat perancangan kewangan bagi tujuan pendidikan tinggi.

Tambahnya, selain daripada pemberian Geran Sepadan, Simpan SSPN turut menyediakan pelbagai keistimewaan dan manfaat buat rakyat di negara ini.

“Antaranya pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful ke atas pendeposit, dividen yang kompetitif, patuh syariah dan dijamin kerajaan.

Artikel Berkaitan:

“PTPTN sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa berusaha membantu ibu bapa dan pelajar untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sekali gus komited memastikan tiada lagi pelajar yang tercicir kerana masalah kewangan,” ujar agensi tersebut.

Ahmad Dasuki (belakang, kiri) bergambar bersama keluarga penerima manfaat Geran Sepadan Simpan SSPN Prime yang diadakan di Pasir Gudang, Johor.
Ahmad Dasuki (belakang, kiri) bergambar bersama keluarga penerima manfaat Geran Sepadan Simpan SSPN Prime yang diadakan di Pasir Gudang, Johor.

Sementara itu, Ketua Eksekutifnya, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, Geran Sepadan merupakan insentif kewangan yang ditawarkan kepada pendeposit berpendapatan tidak melebihi RM4,000 sebulan apabila penerima manfaat iaitu anak-anak mendaftar masuk ke institusi pengajian tinggi (IPT) diiktiraf kerajaan.

Ujar beliau, ia juga salah satu usaha kerajaan bagi memastikan golongan berpendapatan rendah menikmati manfaat penabungan yang berganda.

“Inilah salah satu keistimewaan Simpan SSPN Prime yang sangat menarik iaitu pemberian Geran Sepadan secara percuma sehingga RM10,000 untuk keluarga yang layak,” katanya.

Maklumat lanjut berkenaan Simpan SSPN boleh diperoleh melalui portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my atau aplikasi myPTPTN untuk perkhidmatan yang lebih mudah, cepat dan selamat.