Piala AFC: Terengganu bawa pulang satu mata dari Bali

Antara aksi menarik Bali United menentang Terengganu FC dalam perlawanan Kumpulan G Piala AFC di Stadium Kapten I Wayan Dipta, pada Rabu. - Foto Facebook Bali United
Antara aksi menarik Bali United menentang Terengganu FC dalam perlawanan Kumpulan G Piala AFC di Stadium Kapten I Wayan Dipta, pada Rabu. - Foto Facebook Bali United
A
A
A

TERENGGANU FC (TFC) memulakan kempen saingan Piala AFC di luar Gong Badak dengan rentak positif apabila mengikat Bali United 1-1 dalam aksi Kumpulan G di Stadium Kapten I Wayan Dipta, pada Rabu.

Pemain import dari Cameroon, Privat Mbarga meletakkan Bali United asuhan Stefano Cugurra di depan dengan gol pada minit ke-54 di stadium yang berkapasiti 18,000 penonton.

Gol tercipta selepas pemain import berusia 31 tahun itu menterjemahkan hantaran Jajang Mulyana dalam bentuk jaringan untuk memimpin perlawanan.

Gol itu ternyata menyentak skuad Penyu pimpinan Tomislav Steinbruckner dari lamunan yang kemudiannya menggandakan asakan memburu gol penyamaan.

Biarpun begitu gawang Serdadu Tridatu yang dikawal Adilson Maringa bertindak cemerlang menafikan deretan percubaan angkatan Steinbruckner.

Namun begitu asakan konsisten skuad Penyu akhir membuahkan hasil apabila gawang pasukan yang kini menduduki tangga lima Liga 1 Indonesia bolos pada minit ke-84.

Pemain gantian Syahmi Zamri yang menggantikan Adisak Kraisorn membuktikan kehadirannya ke Bali bukan sekadar omong-omong kosong apabila menyudahkan sentuhan Mohammad Nor Hakim Hassan.

Keputusan seri itu menyaksikan anak-anak buah Steinbruckner mengumpul empat mata untuk kedudukan kedua kumpulan G selepas dua perlawanan.

Artikel Berkaitan:

Biarpun begitu Bali United masih memimpin kumpulan apabila memiliki perbezaan jaringan berbanding TFC.

Sementara itu dalam satu aksi kumpulan sama, Central Coast Mariners kembali menghidupkan peluang mara ke pusingan seterusnya selepas tunduk mengalah 0-1 kepada Terengganu sebelum ini.

Kelab liga Australia itu membelasah kelab Filipina, Stallion Laguna, 9-1 dalam aksi Stadium Central Coast, Gosford, New South Wales.