Piala AFC: Sabah buru permulaan positif di luar Likas

Kim Swee (kiri) dan pemain Sabah, Saddil Ramdani ketika sidang media pra perlawanan menentang PSM Makassar dalam aksi Kumpulan H pada Rabu.
Kim Swee (kiri) dan pemain Sabah, Saddil Ramdani ketika sidang media pra perlawanan menentang PSM Makassar dalam aksi Kumpulan H pada Rabu.
A
A
A

SABAH FC bertekad meraih keputusan positif dalam perlawanan pertama di luar Likas apabila berdepan kelab Indonesia, PSM Makassar dalam perlawanan kedua Kumpulan H Piala AFC di Stadium Kapten I Wayan Dipta, Bali pada Khamis.

Mengakui rekod saingan domestik Liga Super di laman lawan sebelum ini kurang memberangsangkan, pengendali Sabah, Datuk Ong Kim Swee berharap situasi lebih positif dapat diraih apabila berdepan kelab The Red Fish tersebut.

“Ya, saya akui rekod Liga Super Sabah apabila bermain di luar Likas kurang memberangsangkan, namun tahap saingan Liga Super dan Piala AFC amat berbeza.

“Malah kempen Piala AFC menuntut perlawanan yang jauh lebih banyak, ini menuntut kita untuk lebih bijaksana mengutip mata dalam setiap perlawanan.

“Paling penting kita tidak keciciran mata setiap kali bermain di luar Likas dengan persiapan rapi yang dilakukan sebelum ini.

“Saya berharap perlawanan pertama Piala AFC di luar Likas berdepan PSM Makassar, kita mampu menjelmakan keputusan lebih positif,” katanya semasa sidang media menjelang perlawanan menentang Makassar pada Rabu.

Sabah sebelum ini menyingkap kempen Kumpulan H Piala AFC dengan kemenangan menyakinkan 3-1 ke atas kelab Singapura, Hougang United di Likas manakala Makassar pula tewas 0-3 kepada kelab Vietnam, Hai Phong FC di Stadium Lạch Tray, Hai Phong, Vietnam.

Dalam pada itu, Kim Swee menjangkakan tentangan sengit Makassar biarpun The Red Fish kurang memberangsangkan dalam saingan liga domestik ketika ini.

Artikel Berkaitan:

Malah Kim Swee mengingatkan para pemain The Rhinos supaya tidak memandang rendah keupayaan pasukan tuan rumah yang memburu kemenangan pertama saingan Piala AFC musim ini.

“Biarpun prestasi Makassar dalam saingan liga domestik tidak begitu baik, namun saya percaya mereka akan bangkit dalam saingan Piala AFC terutama apabila beraksi di laman sendiri.

“Tambahan pula Makassar sebelum ini tewas dalam perlawanan pertama ketika berdepan Hai Phong di Vietnam, yang sudah pasti mereka juga memburu keputusan positif.

“Bagi pasukan Sabah yang telah beberapa hari di sini, saya harap dapat mengekalkan momentum positif selepas meraih keputusan menyakinkan ke atas Hougang United sebelum ini,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!