Jerebu: Malaysia utus surat kepada Indonesia - Nik Nazmi

NIK NAZMI
NIK NAZMI
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia telah menghantar surat kepada Indonesia bagi menyelesaikan segera Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (AATHP), kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau berkata, surat berkenaan telah dihantar kepada rakan sejawatnya di Indonesia susulan arahan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam supaya penyelarasan dibuat dengan rakan sejawat dalam ASEAN bagi menyelesaikan masalah jerebu merentas sempadan.

"Saya sudah mengutus surat kepada Indonesia, semalam Perdana Menteri telah mengarahkan pihak kementerian untuk mengkoordinasi masalah jerebu ini.

"Susulan arahan itu, saya telah mengutus surat kepada rakan sejawat saya di Indonesia," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Pameran dan Persidangan Teknologi Hijau serta Produk Eko Antarabangsa Malaysia (IGEM) di sini pada Rabu.

Menurut laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) kendalian Jabatan Alam Sekitar (JAS) setakat petang tadi, kualiti udara di dua kawasan di Sarawak berada pada tahap tidak sihat iaitu Sri Aman merekodkan bacaan IPU 138 manakala Serian mencatatkan 113.

Terdahulu, Nik Nazmi berkata, Pavilion Malaysia akan diwujudkan pada Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2023 (COP28) di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 30 November hingga 12 Disember ini, bagi memaparkan penyelesaian domestik dalam menangani perubahan iklim.

Beliau berkata, Pavilion Malaysia di COP28 itu juga akan menampilkan topik dan isu kritikal seperti peralihan tenaga yang adil, mitigasi, adaptasi dan kewangan yang mampan.

"Ia bukan hanya struktur fizikal, tetapi juga demonstrasi jelas komitmen dan kerja keras kita dalam menangani perubahan iklim. Ia akan merangkumi semangat kerjasama iaitu aspek penting dalam budaya Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Kita mahu menjadikan Pavilion (Malaysia) sesuatu yang menarik untuk dilawati dan dapat menceritakan kisah kita," katanya.

Nik Nazmi berkata, pavilion itu turut mempamerkan input daripada Panel Penasihat Perubahan Iklim dan Panel Perundingan Perubahan Iklim, yang ditubuhkan untuk mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak berkepentingan bagi meningkatkan penyertaan Malaysia pada COP28.

"Pada mulanya kita mahukan perkara berkaitan COP, namun kita sudah tubuhkan (panel penasihat) tentang perubahan iklim (kerana) ia perlu melangkaui COP untuk melihat bagaimana kita mereka bentuk dasar berhubung perubahan iklim," katanya.

Beliau berkata, input berkenaan juga disumbangkan bukan hanya dalam kalangan kementerian utama, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), sektor swasta, institusi kewangan dan akademik melalui panel penasihat, tetapi juga daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), masyarakat yang mudah terjejas, belia dan kanak-kanak menerusi panel perundingan.

"Segelintir daripada mereka mengingatkan bahawa kita perlu melebihkan kanak-kanak, kini kita perlu melihat kanak-kanak sebagai pihak berkepentingan terbesar .... Kita perlu melibatkan kanak-kanak bukan hanya untuk mengajar tetapi juga mendidik ibu bapa mereka tentang perubahan iklim.

"Peralihan tenaga yang adil adalah penting, cukai karbon sedang diteliti oleh Kementerian Kewangan dan kita juga melihat kepada isu dan pampasan Loss and Damage, serta penyelesaian berasaskan semula jadi dalam meningkatkan tindakan perubahan iklim dan memperkasakan pihak berkepentingan sebagai input," katanya.

Nik Nazmi berkata, penyertaan Malaysia pada COP28 ialah legasi berkekalan dalam pembangunan mampan dan tindakan iklim.

"Kami sudah melihat negara lain apabila mereka menginstitusikan agensi perundangan yang boleh melangkaui sebarang individu dan kerajaan, ia penting untuk memastikan kita mencapai kata sepakat tentang apa yang boleh kita lakukan bagi menangani perubahan iklim," katanya.