Agensi penguatkuasaan dibenar periksa pengilang, pemborong padi, beras

Semua agensi penguatkuasaan dibenarkan menjalankan pemeriksaan di peringkat pengilang serta pemborong padi dan beras di seluruh negara. Gambar hiasan - Foto 123RF (Gambar kecil: Foong Hin )
Semua agensi penguatkuasaan dibenarkan menjalankan pemeriksaan di peringkat pengilang serta pemborong padi dan beras di seluruh negara. Gambar hiasan - Foto 123RF (Gambar kecil: Foong Hin )
A
A
A

PUTRAJAYA - Semua agensi penguatkuasaan dibenarkan menjalankan pemeriksaan di peringkat pengilang serta pemborong padi dan beras di seluruh negara, di bawah Seksyen 6 Akta Kawalselia Padi dan Beras 1994 [Akta 522].

Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat penyelarasan Task Force Khas Operasi Bersepadu Beras Putih Tempatan (BPT) yang dipengerusikan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin, pada Selasa.

Menurut Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataan pada Rabu, mesyuarat bersetuju menurunkan kuasa kepada agensi-agensi penguatkuasaan di bawah Akta 522 bagi menjalankan pemeriksaan serta mewujudkan Pusat Gerakan Bersepadu di kementerian.

Isnin lepas, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu mengumumkan pelaksanaan Task Force Khas Bersepadu Penguatkuasaan Operasi Beras Putih (Op BPT) yang diketuai oleh Foong Hin.

Op BPT melibatkan badan Kawalselia Padi dan Beras (KPB), Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis).

KPKM berkata, Op BPT bermula hari ini melibatkan pemeriksaan di 93 buah kilang, 130 pemborong dan peruncit serta turut meliputi pemeriksaan di sempadan negara dan pelabuhan utama.

"KPKM menegaskan bahawa tindakan akan diambil ke atas mana-mana pihak yang didapati menukar kampit atau mencampurkan BPT dengan beras putih import atau menyembunyikan bekalan BPT,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: