Mesyuarat kabinet tidak bincang rombakan - Khaled Nordin

Mohamed Khaled - Foto Bernama
Mohamed Khaled - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu tidak membincangkan apa-apa perkara mengenai jawatan atau rombakan Kabinet, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

"Kabinet tidak ada bincang apa-apa mengenai jawatan, tak adalah (rombakan). Dah habis (mesyuarat). Saya di sini kan," kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Hari Akademia dan Bulan Akademia Peringkat Kebangsaan 2023 di sini pada Rabu.

Mohamed Khaled berkata demikian ketika ditanya media mengenai ura-ura rombakan Kabinet akan berlaku.

Semalam Anwar juga telah menafikan dakwaan rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan akan berlaku hari ini.

Sebelum itu sebuah portal melaporkan Anwar dijangka mengumumkan rombakan Kabinet hari ini sejurus mempengerusikan mesyuarat jemaah menteri di Putrajaya.

Mohamed Khaled berkata, mesyuarat Kabinet pada Rabu ada membincangkan mengenai penubuhan Kursi Tun Dr Ismail di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) seperti diumumkan perdana menteri pada Ogos lepas.

Beliau berkata, Kursi bagi menghargai dan mengiktiraf sumbangan Tun Dr Ismail Abdul Rahman kepada kemajuan negara itu akan bermula bulan depan dengan memfokuskan kepada perpaduan dan etnisiti dalam masyarakat majmuk di negara ini.

Tun Dr Ismail disifatkan sebagai figura perpaduan negara dan merupakan antara tokoh penting yang menggariskan lima prinsip Rukun Negara ketika Malaysia berhadapan dengan peristiwa hitam, 13 Mei 1969.

Allahyarham adalah timbalan perdana menteri semasa pemerintahan Tun Abdul Razak Hussein daripada tahun 1971 hingga 1973. - Bernama

Artikel Berkaitan: