25 nelayan positif dadah ditahan

Nelayan yang ditahan berumur dalam lingkungan umur 20 hingga 50 tahun dan telah diserahkan kepada AADK untuk tindakan lanjut. - FOTO MARITIM MALAYSIA
Nelayan yang ditahan berumur dalam lingkungan umur 20 hingga 50 tahun dan telah diserahkan kepada AADK untuk tindakan lanjut. - FOTO MARITIM MALAYSIA
A
A
A

KUALA KEDAH - 25 orang nelayan warga tempatan ditahan dalam Op Bersepadu di sekitar perairan Kuala Kedah kerana didapati positif dadah selepas serbuan dilakukan di jeti-jeti bot sekitar muara serta pemeriksaan secara rawak ke atas bot nelayan tempatan, di sini pada pagi Rabu.

Menurut Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak, Op Bersepadu tersebut melibatkan 39 pegawai dan anggota dari Maritim Malaysia dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Kota Setar dan Pokok Sena.

Menurutnya, mereka yang ditahan berumur dalam lingkungan umur 20 hingga 50 tahun dan telah diserahkan kepada AADK untuk tindakan lanjut.

"Hasil operasi yang dijalankan, seramai 25 orang warga tempatan telah ditahan kerana positif dadah jenis methaphetamine terdiri daripada tujuh orang lelaki yang ditahan ketika saringan air kencing dijalankan di atas bot-bot nelayan manakala 18 lagi telah ditahan di jeti-jeti bot," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Noor Azreyanti berkata, Op Bersepadu yang dijalankan adalah salah satu usaha untuk membanteras aktiviti penagihan dadah dalam kalangan komuniti nelayan di sekitar perairan Kuala Kedah.

Tegasnya, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang di perairan negara.

Agensi tersebut turut menyeru kepada masyarakat setempat untuk menjadi ‘mata dan telinga’ pihak Maritim Malaysia dengan menyalurkan maklumat atau aduan bagi sebarang aktiviti jenayah serta kecemasan di laut dengan menghubungi talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.

Artikel Berkaitan: