Pekerja dobi positif dadah diberkas ketika lari dari ditahan

Pemeriksaan dijalankan ke atas kenderaan suspek menemukan beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk jenayah pecah rumah.
Pemeriksaan dijalankan ke atas kenderaan suspek menemukan beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk jenayah pecah rumah.
A
A
A

PETALING JAYA - Cubaan seorang pekerja kedai dobi yang melarikan diri ketika ditahan polis mengundang padah apabila diberkas berhampiran Terowong Penchala Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint) setelah dikejar lebih 10 kilometer pada Jumaat.

Suspek yang merupakan seorang lelaki warga tempatan itu pada mulanya ditahan polis di Persiaran Surian, Kota Damansara di sini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, suspek berumur 26 tahun itu yang memandu sebuah kereta jenis Proton Waja bagaimanapun terus melarikan diri.

"Anggota polis bertugas bertindak mengejar kenderaan suspek sebelum ia terbabas dan melanggar tembok penghadang jalan.

"Suspek kemudiannya diberkas setelah dikejar lebih 20 minit dari Persiaran Surian, Kota Damansara," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Katanya, pemeriksaan dijalankan ke atas kenderaan suspek menemukan beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk jenayah pecah rumah.

Polis mengambil masa kira-kira 20 minit sebelum berjaya menahan suspek berhampiran Terowong Penchala Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint) pada Jumaat.
Polis mengambil masa kira-kira 20 minit sebelum berjaya menahan suspek berhampiran Terowong Penchala Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint) pada Jumaat.

"Ujian saringan yang dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis syabu.

"Semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau," katanya.

Menurutnya, suspek kini direman empat hari untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.