Solari tabik karakter JDT

Bergson antara penjaring gol JDT ketika menentang Pathum United dalam aksi Kumpulan I Liga Juara-Juara Asia di Stadium BG Pathum Thani, Thailand pada Selasa. - Foto Johor Southern Tigers
Bergson antara penjaring gol JDT ketika menentang Pathum United dalam aksi Kumpulan I Liga Juara-Juara Asia di Stadium BG Pathum Thani, Thailand pada Selasa. - Foto Johor Southern Tigers
A
A
A

KEJAYAAN Johor Darul Ta’zim (JDT) meraih tiga mata pertama Liga Juara-Juara Asia ketika menjinakkan kelab liga Thailand, BG Pathum United 4-2 disifatkan persembahan sebenar Harimau Selatan.

JDT sebelum ini terlepas peluang meraih tiga mata selepas tewas 0-1 kepada kelab Jepun, Kawasaki Frontale dalam perlawanan pertama Kumpulan I di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 19 September lalu.

Jelas pengendali Harimau Selatan, Esteban Solari, kejayaan meraih tiga mata di laman The Rabbits itu juga merupakan kebangkitan terindah selepas ketinggalan satu gol jaringan penalti Victor Cardozo seawal minit kelima separuh masa pertama.

“Sejujurnya kami tidak sabar untuk kembali beraksi di pentas Liga Juara-Juara Asia selepas kekalahan kepada Kawasaki Frontale sebelum ini. Malam ini sebenarnya ujian cukup mencabar buat kami.

“Namun saya tahu pemain-pemain JDT mampu memberikan aksi lebih baik. Keputusan aksi berdepan Pathum United membuktikan pasukan ini sememangnya mampu memberikan yang terbaik.

“Apabila ketinggalan satu gol, ia sebenarnya bagus kerana di situ pemain-pemain akan menunjukkan karakter untuk memenangi perlawanan di tempat lawan. Itulah sebab saya bangga dengan prestasi pemain-pemain JDT apabila tidak hanya mampu bermain dengan baik tetapi juga berupaya memberi tentangan di BG Pathum,” katanya kepada media selepas perlawanan.

Dalam perlawanan di Stadium BG Pathum itu, gol JDT dijelmakan Arif Aiman Hanapi minit keenam dan m-78, Bergson Da Silva (m-14) dan Juan Muniz (m-53) manakala dua gol Pathum United diledakkan Cardozo (m-5, m-55).

Sementara itu, pemain terbaik perlawanan tersebut, Bergson pula lega dengan tiga mata diraih Harimau Selatan sambil mengakui Pathum United menghadirkan tentangan sengit.

Artikel Berkaitan:

“Ya, saya gembira dengan tiga mata yang sememangnya amat diharapkan pasukan, selain bangga dipilih pemain terbaik perlawanan ini.

“Namun sejujurnya saya tidak memikirkan untuk dipilih menjadi pemain terbaik apabila menyarung jersi JDT, sebaliknya tumpuan lebih kepada memberikan yang terbaik bagi memastikan kemenangan pasukan.

“Sebelum perlawanan, kami merancang dengan jurulatih dan mencabar diri untuk memberikan yang terbaik dalam perlawanan ini,” katanya.