JDT azam berikan aksi terbaik berdepan BG Pathum United

Esteban Solari - Foto Bernama
Esteban Solari - Foto Bernama
A
A
A

BIARPUN menyedari bakal berdepan tentangan sengit, namun pengendali skuad Johor Darul Ta'zim (JDT), Esteban Solari tetap berazam memberikan aksi terbaik bagi meraih mata berdepan kelab Thailand, BG Pathum United dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di BG Stadium, Pathum Thani, Thailand pada Selasa.

Menurut Solari, aksi berdepan skuad The Rabbits itu dilihat penting buat skuad Harimau Selatan bagi meraih mata dalam saingan peringkat Kumpulan I setelah tumpas 0-1 kepada kelab gergasi Liga Jepun (J-League), Kawasaki Frontale di Stadium Sultan Ibrahim, 19 September lalu.

"Kami sedar bakal menempuh laluan sukar berdepan BG Pathum, tapi kami juga tetap melakukan persediaan bagi memberikan aksi yang terbaik.

"Matlamat utama kami ke sana (Thailand), adalah untuk memberikan saingan dan seterusnya membawa pulang tiga mata berharga.

"Lagi pun, tiga mata pertama dalam saingan ACL kali ini memang sangat penting buat kami, apatah lagi setelah tewas kepada Kawasaki (Frontale), baru-baru ini," katanya menjelang perlawanan tersebut.

Dalam masa sama, Solari turut mengingatkan kesebelasan pemain untuk sentiasa bekerja keras di sepanjang 90 minit perlawanan bagi merealisasikan kejayaan yang diharap-harapkan.

Malah katanya, pemain juga perlu terus mengamalkan falsafah sedia ada skuad Harimau Selatan sebagai pembakar semangat bagi mengharungi perlawanan berkenaan.

"Kami akan terus bekerja keras bagi memastikan kejayaan pada perlawanan ini.

Artikel Berkaitan:

"Ini kerana berdasarkan pengalaman berdepan Kawasaki (Frontale), kami tidak boleh leka, walaupun seketika," katanya.