Kekecohan di luar Stadium BG, tiada penyokong JDT terlibat

Tangkap layar kekecohan yang berlaku di luar Stadium BG pada Rabu.
Tangkap layar kekecohan yang berlaku di luar Stadium BG pada Rabu.
A
A
A

INSIDEN kekecohan di luar Stadium BG, Pathum Thani, Thailand, selepas aksi Liga Juara-Juara AFC (ACL) antara BG Pathum United dan Johor Darul Ta’zim (JDT), pada Rabu tidak melibatkan penyokong skuad Harimau Selatan itu.

Ketika dihubungi Sinar Harian, jurucakap Boys Of Straits (BOS), Farween Johar, 35, berkata, insiden tersebut sebaliknya membabitkan penyokong lain.

“Kalau tengok di IG Official kita orang masih ok, masih bertegur sapa menyanyi dengan ‘ultras’ dari Bangkok, selepas game (perlawanan tamat).

“Benda tu pun jadi masa kita semua dalam perjalanan sambil nyanyi (chant) ke tempat (parkir) bas. Kami dapati ia bukan ditujukan kepada kami, tetapi kepada kumpulan lain... mungkin berlaku salah faham masa dalam stadium.

“Penyokong JDT pun tak ramai dan dalam satu jalan yang sama, jadi nampak seolah-olah pergaduhan itu membabitkan kita... sebenarnya bukan kita sebab kita official dan hubungan kita dengan BG Pathum pun ok.

"Jadi suar tu rasanya memang dibaling ke satu kumpulan tu, faham-faham sahajalah, tak payah sebutlah,” katanya pada Rabu.

BOS meraikan kemenangan JDT di Stadium BG pada Rabu. - Foto Boys Of Straits
BOS meraikan kemenangan JDT di Stadium BG pada Rabu. - Foto Boys Of Straits

Untuk rekod, JDT meraih tiga mata apabila menang 4-2 ke atas BG Pathum United pada aksi kedua Kumpulan I, Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2023, setelah tumpas 0-1 kepada gergasi Jepun, Kawasaki Frontale pada aksi sulung di Stadium Sultan Ibrahim, 19 September lalu.

Artikel Berkaitan:

Walaupun dikejutkan dengan jaringan pendahuluan skuad The Rabbits itu seawal minit kelima permainan menerusi Victor Cardozo yang menyempurnakan sepakan penalti, namun kesebelasan skuad Harimau Selatan itu bangkit dengan empat jaringan menerusi dua gol daripada Arif Aiman Mohd Hanafi pada minit keenam dan minit ke-78, Bergson Da Silva (minit ke-14), Juan Muniz (minit ke-53), sebelum Victor merapatkan jurang pada minit ke-55.

Kemenangan itu menyaksikan JDT mengekori pendahulu, Kawasaki Frontale yang menang 1-0 ke atas kelab Korea Selatan, Ulsan Hyundai.

Sementara itu Farween berkata, tiada penyokong mengalami kecederaan ekoran insiden itu, sebaliknya semuanya selamat menaiki bas dan pulang ke hotel penginapan.

“Alhamdulillah, tak ada yang cedera,” katanya.