Bergson tak gentar reputasi BG Pathum United

Bergson pada sesi latihan sebelum berlepas ke Bangkok. - Foto Facebook Johor Southern Tigers
Bergson pada sesi latihan sebelum berlepas ke Bangkok. - Foto Facebook Johor Southern Tigers
A
A
A

PENYERANG berbisa Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson Da Silva menegaskan skuad Harimau Selatan itu tidak gentar berdepan BG Pathum United pada Liga Juara-Juara AFC (ACL), di BG Stadium, Pathum Thani, Thailand, pada Selasa.

Menurut Bergson, kesebelasan pemain juga dilihat sudah bersedia secukupnya untuk berdepan gergasi liga Thailand (Thai-League) itu, dan seterusnya meraih tiga mata berharga.

“Kami akan berdepan BG Pathum (United), salah satu pasukan yang kuat dalam saingan ACL kali ini dan mereka dilihat memiliki segala kelebihan tetapi kami tidak gentar kerana kami adalah JDT.

“Kami yakin mampu berikan tekanan kepada mereka sebagaimana kami memberikan tekanan kepada Kawasaki (Frontale), untuk perlawanan sulung baru-baru ini dan kami juga pernah menang dengan Ulsan (Hyundai), sebelum ini.

“Oleh itu, kami akan berikan aksi yang terbaik pada perlawanan ini dan seterusnya membawa pulang mata berharga,” katanya menjelang perlawanan berkenaan.

Untuk rekod JDT tewas 0-1 kepada kelab Jepun, Kawasaki Frontale pada aksi sulung Kumpulan I di Stadium Sultan Ibrahim sementara BG Pathum tumpas 1-3 kepada Ulsan Hyundai, di Stadium Munsu, 19 September lalu.

Sementara itu, Bergson berkata, kesemua pemain terutamanya di jentera serangan pasukan diharapkan dapat memanfaatkan setiap peluang yang diperoleh bagi meledak jaringan.

Katanya, gol yang dijaringkan pasti memberikan semangat kepada pemain untuk beraksi dengan lebih baik dan seterusnya merealisasikan kejayaan.

Artikel Berkaitan:

"Saya dan rakan-rakan sepasukan akan cuba memberikan aksi terbaik, tak kisah lah siapa pun yang menjaringkan gol kerana yang penting adalah kejayaan pasukan," katanya.