SC, KPKM tubuh jawatankuasa pemandu bantu usahawan tani

Awang Adek
Awang Adek
A
A
A

SURUHANJAYA Sekuriti (SC) dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menubuhkan Jawatankuasa Pemandu Pembiayaan-Tani Inovasi Malaysia (MIAF) untuk membantu usahawan tani berkembang dan menyokong keterjaminan makanan negara.

Pengerusi SC, Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin berkata, jawatankuasa pemandu itu adalah inisiatif kerjasama yang melibatkan KPKM, Agrobank, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia dan SC.

"Jawatankuasa itu menyasar untuk memanfaatkan kepakaran dan sumber ahlinya untuk meningkatkan pemahaman dan penerimagunaan pembiayaan dan teknologi alternatif sektor pertanian serta membantu pertumbuhan perniagaan tani yang bersedia menerima pelaburan.

"Insya-ALLAH, kita akan mencapai objektif ini kerana dengan bekerjasama, kita boleh memacu perubahan positif dan memperkasa usahawan tani untuk berkembang maju dalam industri mereka,” katanya semasa menyampaikan ucapan alu-aluan pada program Jelajah SCxSC GROW dan Persidangan Perbadanan Bioekonomi, di sini, pada Rabu.

Awang Adek berkata, sejak dimulakan pada 2015, kurang tujuh peratus daripada dana yang diperoleh melalui platfom pemberian pinjaman pendanaan awam ekuiti (ECF) dan pinjaman rakan setara (P2P) disalurkan ke perniagaan berkaitan pertanian.

"Oleh itu, terdapat peluang besar bagi perniagaan tani untuk memanfaatkan kaedah pembiayaan alternatif ini untuk membantu menyokong keterjaminan makanan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, syarikat pemula niaga dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) merupakan tulang belakang ekonomi Malaysia, oleh itu, penting untuk menyokong pertumbuhan mereka bagi mencapai pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Menurutnya, selain sokongan kewangan, akses pasaran dan perkongsian juga penting bagi pertumbuhan mampan.

Artikel Berkaitan:

Di pasaran swasta, Awang Adek berkata, SC telah berusaha untuk membangunkan rangka kerja kawal selia yang merangkumi insentif untuk memastikan pengurus modal teroka (VC) dan ekuiti persendirian (PE) mampu menyokong PKS merentasi pelbagai sektor.

Beliau menjelaskan syarikat modal teroka dan ekuiti persendirian bukan sahaja menyediakan pembiayaan tetapi juga menyokong usahawan dalam usaha pembangunan perniagaan mereka.

"Ini bagi memastikan usahawan tani mendapat sokongan kewangan dan pengetahuan perniagaan yang mereka perlukan untuk mengembangkan perniagaan mereka," katanya.

Sementara itu, saluran pengumpulan dana pasaran swasta lain seperti pembiayaan ECF dan P2P membolehkan pelabur menyalurkan modal secara terus kepada usahawan tani dan menyediakan lebih banyak pilihan kepada syarikat pertumbuhan tinggi untuk mengakses modal.

Pada 2022, segmen pasaran swasta menyaksikan pertumbuhan ketara, dengan gabungan pelaburan berjumlah RM3 bilion daripada pembiayaan modal teroka/ekuiti persendirin, ECF dan P2P.

Selain itu, katanya, pembiayaan ECF dan P2P terus berkembang dengan lebih daripada RM4.4 bilion dikumpul sejak dimulakan pada 2015, memanfaatkan lebih 7,200 PMKS, dengan 26 kali lebih banyak pembiayaan bagi sektor pertanian pada 2022.

Untuk meningkatkan penyertaan dalam pasaran swasta, Awang Adek berkata, cabang promosi SC, Capital Markets Malaysia (CMM) telah menjalankan beberapa siri program untuk mempromosikan modal teroka korporat (CVC) yang bertujuan menyediakan pilihan amalan dan praktikal terbaik kepada eksekutif korporat daripada syarikat berhad swasta Malaysia agar mereka dapat melaksanakan lebih banyak libat urus dengan syarikat pemula niaga di Malaysia.

Beliau berkata CVC mencipta peluang untuk perkongsian pengetahuan, pengumpulan sumber dan pemindahan teknologi yang seterusnya menyumbang kepada keseluruhan pembangunan ekosistem syarikat pemula niaga di negara ini.

Mengenai Malaysia Co-Investment Fund (MyCIF), Awang Adek berkata program itu telah melabur dalam lebih daripada 3,600 PMKS, dengan dana berjumlah RM638 juta, sehingga akhir Disember 2022.

"MyCIF melancarkan inisiatif khas untuk melabur dalam perusahaan berasaskan pertanian yang mana kerajaan akan memadankan separuh daripada setiap ringgit yang dilaburkan ke dalam perniagaan tani.

"Hasil daripada inisiatif ini, pelaburan MyCIF dalam perniagaan tani meningkat hampir sembilan kali ganda daripada hanya RM725,000 pada 2021 kepada RM6.4 juta pada 2022,” katanya. - Bernama