FAMA buat kajian agensi khusus tingkatkan keterjaminan makanan

Foong Hin melihat ruang pameran selepas merasmikan Pameran Perdagangan Makanan dan Minuman Antarabangsa Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Rabu. - Foto Bernama
--fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA
Foong Hin melihat ruang pameran selepas merasmikan Pameran Perdagangan Makanan dan Minuman Antarabangsa Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Rabu. - Foto Bernama --fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sedang menjalankan kajian terperinci berhubung mekanisme agensi khusus bagi meningkatkan keterjaminan makanan.

Timbalan Menterinya, Chan Foong Hin berkata, perkara berkenaan masih dalam perbincangan dan belum ada keputusan muktamad dibuat setakat ini.

"Keterjaminan makanan bukan sahaja perkara yang menjadi perhatian KPKM malah antara lain Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), jadi apabila melibatkan agensi khusus seumpama itu, ia memerlukan anjakan paradigma.

"Setakat ini, FAMA sedang melakukan kajian bagaimana agensi tunggal ini harus berfungsi. Ia masih dalam perbincangan dan telah melibatkan beberapa siri mesyuarat namun belum ada sebarang yang dimuktamadkan,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas melancarkan Pameran Perdagangan Makanan dan Minuman Antarabangsa Malaysia (MIFB) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Rabu.

Pada 20 Jun lepas, Foong Hin pada sesi soal jawab di Dewan Negara dilaporkan berkata KPKM sedang meneliti cadangan penubuhan agensi khusus bagi meningkatkan keterjaminan makanan sebagai agenda nasional, dengan idea penubuhan agensi itu dicetuskan pada Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), awal tahun ini.

Beliau berkata, penubuhan agensi berkenaan perlu merangkumi beberapa aspek iaitu elemen ketersediaan, kebolehcapaian, keselamatan makanan dan pemakanan serta kestabilan dan kemampanan.

Sementara itu, Foong Hin berkata, MIFB berfungsi sebagai platform untuk mempamerkan apa yang terbaik mampu ditawarkan oleh Malaysia selain mengetengahkan trend serta inovasi terkini dalam industri makanan dan minuman antarabangsa.

Beliau turut menggalakkan peserta pameran MIFB untuk turut serta dalam perbincangan, jaringan dengan pemimpin industri dan meneroka pelbagai produk dan perkhidmatan yang dipamerkan.

"Saya yakin bahawa pameran MIFB akan menggalakkan perkongsian baharu, mencetus pelbagai idea inovatif dan membuka jalan untuk masa depan lebih cerah dalam sektor pertanian dan makanan,” katanya. - Bernama