Projek INTAN strategi mantapkan keterjaminan makanan

Rafizi Ramli. - Foto Bernama
Rafizi Ramli. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Projek Inisiatif Usahawan Tani (INTAN) di bawah program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) adalah strategi serampang pelbagai mata dengan sasaran untuk memantapkan keterjaminan makanan negara dan membina kemudahan pertanian kendiri di lokasi strategik menggunakan teknologi ’modern farming’.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, kerajaan akan menyediakan tanah, infrastruktur pertanian, latihan dan kos operasi seperti baja, sokongan pemasaran, padanan dengan pembeli serta elaun bulanan sementara menunggu hasil tuaian.

“Kepada rakyat yang berminat, berikut adalah kriteria-kriteria dan garis panduan untuk permohonan INTAN, pertama, mestilah pertanian kontan yang kitaran tuaiannya sekitar tiga ke lima bulan supaya tidak menunggu terlalu lama.

“Kedua, tanaman kontan yang boleh diusahakan melalui polibag atau fertigasi. Ketiga, mengutamakan jenis tanaman-tanaman yang ada serta-merta di pasaran dan mudah mendapat pendapat,” katanya dalam ciapan di Twitter pada Selasa.

Berdasarkan Belanjawan 2023 yang diumumkan Perdana Menteri yang juga memegang jawatan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 24 Februari lalu, sejumlah RM750 juta disediakan kepada Kementerian Ekonomi bagi menjayakan Inisiatif IPR untuk tahun 2023.

Pada 15 Jun, Kementerian Ekonomi menjelaskan sebanyak 50 peratus daripada RM750 juta peruntukan di bawah program IPR, diperuntukkan kepada inisiatif INTAN.

Dalam pada itu, ujar Rafizi, INTAN di bawah program IPR adalah antara usaha Kementerian Ekonomi untuk menoktahkan kemiskinan tegar dengan memperkenalkan templat aktiviti ekonomi berfokuskan aktiviti pertanian.

Menurutnya, sebanyak 1000 ekar pertama tanah telah dikenal pasti dan akan diumumkan untuk projek INTAN pada Julai ini.

“Rakan-rakan strategik serta agensi pertanian kerajaan dan negeri telah dikenal pasti dan akan mengusahakannya.

“Untuk menjadi peserta IPR, boleh layari laman web IPR di https://ipr.epu.gov.my,” ujarnya.