Tuduhan menghasut, bicara kes Sanusi mula Januari tahun depan

Sanusi ketika ditemui pengamal media selepas prosiding di Mahkamah Sesyen Selayang hari ini, atas dua pertuduhan menghasut dalam satu ceramah politik 11 Julai lepas. - Foto Bernama
Sanusi ketika ditemui pengamal media selepas prosiding di Mahkamah Sesyen Selayang hari ini, atas dua pertuduhan menghasut dalam satu ceramah politik 11 Julai lepas. - Foto Bernama
A
A
A

SELAYANG - Perbicaraan dua kes menyebut perkataan menghasut yang dihadapi Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor di Mahkamah Sesyen di sini ditetapkan bermula Januari tahun depan.

Prosiding ditetapkan selama 12 hari iaitu 18 dan 19 Januari manakala Februari pada 5, 8, 9, 12, 13, 15, 16, 19, 22 dan 23.

Hakim, Nor Rajiah Mat Zin menetapkan tarikh berkenaan selepas pihak pendakwaan dan pembelaan bersetuju dengan penetapan tersebut.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Masri Mohd Daud mencadangkan prosiding dijalankan dalam masa terdekat memandangkan kes itu melibatkan isu berkepentingan awam.

Menurutnya, pendakwaan akan memanggil 10 saksi bagi kedua-dua kes berkenaan.

Bagaimanapun, peguam, Awang Armadajaya Awang Mahmud yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu mencadangkan prosiding ditetapkan tahun hadapan.

Dalam pada itu, mahkamah turut dimaklumkan bahawa pihak pendakwaan memohon pindaan dibuat terhadap dua pertuduhan melibatkan Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu.

Sebelum ini, Sanusi didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 kemudian dipinda kepada Seksyen 4(1)(b) akta sama

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, sebaik pertuduhan pindaan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah, Sanusi yang bersut biru berkata, "Faham pertuduhan Yang Arif, mengaku tidak bersalah".

Mengikut kedua-dua pertuduhan pindaan, pemimpin politik itu didakwa telah menyebut perkataan menghasut di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara - Kampung Bendahara, Gombak dekat sini pada 11 malam, 11 Julai lepas.

Kedua-dua kesalahan itu mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Selain Masri, pendakwaan turut dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob, Nor Azizah Aling dan Nadia Mohd Izhar.

Sementara Sanusi turut diwakili lapan lagi peguam antaranya Wan Rohimi Wan Daud.

Sementara itu, di mahkamah berasingan di hadapan Hakim, Osman Affendi Mohd Shalleh membenarkan kes yang dihadapi Sanusi digabungkan untuk dibicarakan bersama di hadapan Nor Rajiah.

Osman Affendi memutuskan demikian selepas permohonan pihak pendakwaan berhubung perkara itu tidak dibantah oleh pasukan pembelaan

Semasa prosiding, Masri berkata, semua dokumen berkaitan kes telah diserahkan kepada pihak pembelaan.

Selain itu, beliau memohon agar kes di mahkamah itu dapat dipindahkan untuk dibicarakan bersama di hadapan Nor Rajiah.

"Ini kerana, ia melibatkan teks dan saksi yang sama, maka wajarlah kes ini dibuat secara bersama," katanya.

Susulan itu, Awang Armadajaya berkata, pembelaan tidak membantah permohonan penggabungan kes tersebut.

Bagaimanapun, beliau memohon pengesahan mahkamah, mengenai permohonan daripada peguam pemerhati bagi kes tersebut.

"Kami difahamkan ada peguam pemerhati mahu mengikuti kes ini, namun saya belum mendapat arahan berhubung perkara berkenaan," katanya.

Osman Affendi kemudiannya berkata, semasa prosiding terdahulu, mahkamah dimaklumkan mengenai isu itu namun pihak pemohon diarahkan untuk membuat permohonan secara bertulis.

Bagaimanapun hakim tersebut berkata, sehingga ke tarikh sebutan kes berkenaan, tiada permohonan bertulis dibuat mana-mana pihak.

"Setakat ini, tiada peguam pemerhati dibenarkan bagi kes ini," katanya.

Pada 18 Julai lalu, peguam, Asheeq Ali Sethi Alivi memaklumkan berkata, pihaknya telah mendapat arahan daripada anak guam (Parti Keadilan Rakyat - PKR) untuk hadir dan menjadi peguam pemerhati dengan alasan ia membabitkan kepentingan awam.

Ketika permohonan dibuat di hadapan Osman Affendi, hakim berkenaan meminta agar Asheeq Ali membuat permohonan itu secara bertulis.

Bagaimanapun, ketika permohonan serupa dibuat di hadapan Nor Rajiah, hakim tersebut membenarkan permohonan tersebut dan meminta Asheeq agar memaklumkan mahkamah dan membuat permohonan baharu sekiranya terdapat peguam lain yang akan hadir sebagai peguam pemerhati PKR.