Syarikat pakaian didenda RM40,000 miliki, bekal selipar tiruan Fipper

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebuah syarikat yang menjual pakaian didenda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memiliki dan membekalkan 5,556 selipar tiruan jenama Fipper, tiga tahun lepas.

Hakim Manira Mohd Nor menjatuhkan hukuman itu ke atas ZC Fashion Sdn Bhd, yang diwakili pengarah syarikat, Tan Hock Chuah, 39, selaku Orang Kena Saman(OKS) selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.

Syarikat itu didakwa dalam milikannya untuk pembekalan selipar jenama Fipper pelbagai saiz dan warna menggunakan cap dagangan palsu jenama Fipper di premis ZC Fashion di Jalan Chow Kit di sini, pada 11.15 pagi, 19 Julai 2017.

Pertuduhan mengikut Seksyen 8 (2) (c) Akta Perihal Dagangan 2011 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 8 (2) (A) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM15,000 bagi setiap barang yang diletakkan perihal dagangan palsu dan bagi kesalahan yang kedua atau berikutnya, denda tidak melebihi RM30,000 bagi setiap barang yang diletakkan perihal dagangan palsu.

Terdahulu, Hock Chuah yang diwakili peguam Nordin Othman semasa merayu hukuman ringan berkata kesalahan berkenaan merupakan yang pertama dan dia juga memberi kerjasama kepada pihak berkuasa semasa siasatan kes tersebut.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Ahmad Zikri Jaafar memohon hukuman setimpal dengan alasan perbuatan itu boleh menjejaskan pendapatan negara.

Mengikut fakta kes, sepasukan anggota penguat kuasa KPDNKK negeri melakukan pemeriksaan di premis tertuduh dan menjumpai 5,556 pasang selipar menggunakan jenama Fipper tiruan dan OKS mengaku kasut itu adalah miliknya, sebelum pihak berkuasa menyita barang berkenaan dan membuat laporan polis.

OKS membayar denda tersebut. - Bernama

Artikel Berkaitan: