Warga AS didenda RM4,000 miliki peluru

Seorang warga AS didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Sepang kerana memiliki tiga butir peluru tanpa lesen atau permit sah di KLIA pada 19 Mei lepas. - Foto Bernama
Seorang warga AS didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Sepang kerana memiliki tiga butir peluru tanpa lesen atau permit sah di KLIA pada 19 Mei lepas. - Foto Bernama
A
A
A

SEPANG - Seorang warga Amerika Syarikat yang dikesan memiliki tiga butir peluru tanpa lesen atau permit sah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 19 Mei lepas didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Sepang di sini pada Selasa.

Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan membuat keputusan itu selepas David Allen Trail, 47, yang merupakan pekerja industri pengilangan sintetik seperti plastik dan gam, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan dan diperintah menjalani hukuman penjara sebulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Balai Pelepasan Antarabangsa KLIA pada kira-kira 10.40 malam 19 Mei, mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.

Mengikut kertas pertuduhan, Trail ketika mahu pulang ke negara asalnya didapati memiliki dua butir peluru jenis 7.62x39 milimeter (mm) Tulammor dan sebutir peluru jenis 7.62x39 mm Wolf buatan Rusia tanpa lesen atau permit yang sah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Sabrina Zubairi yang memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap Trail sebagai pengajaran.

Peguam S Vivek yang mewakili Trail dalam rayuannya berkata, anak guamnya telah berada di Malaysia sejak lima minggu lepas bagi tujuan urusan kerja mewakili majikannya di AS selain menyumbang kepada pengeluaran teknologi baharu dalam industri pengilangan sintetik.

Menurut Vivek, adalah tidak menjadi satu kesalahan bagi Trail memiliki peluru di negara asalnya serta beliau tidak mempunyai sebarang niat untuk melakukan aktiviti pengedaran atau pembuatan peluru di Malaysia selain anak guamnya tiada rekod jenayah lampau di negara ini atau di AS.

Trail kemudian membayar denda tersebut. - Bernama