Melaka selaras sistem berlabuh kapal dagang

Kerajaan Melaka akan menyelaras semula kawasan berlabuh kapal dagang di perairan Tanjung Kling di sini dengan susunan selari dan lebih sistematik bagi menangani kesukaran nelayan untuk menangkap ikan. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Muhamad Akmal Saleh)
Kerajaan Melaka akan menyelaras semula kawasan berlabuh kapal dagang di perairan Tanjung Kling di sini dengan susunan selari dan lebih sistematik bagi menangani kesukaran nelayan untuk menangkap ikan. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Muhamad Akmal Saleh)
A
A
A

MELAKA - Kerajaan Melaka akan menyelaras semula kawasan berlabuh kapal dagang di perairan Tanjung Kling di sini dengan susunan selari dan lebih sistematik bagi menangani kesukaran nelayan untuk menangkap ikan.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, ia berikutan aduan dan keluhan nelayan yang mendakwa aktiviti menangkap ikan di kawasan perairan itu terjejas selain mengalami kerugian setelah jaring rosak akibat dilanggar kapal dagang.

"Apabila ada kapal-kapal besar berlabuh dalam keadaan berselerak sekali gus menyukarkan nelayan tempatan, justeru dengan susunan plot dalam satu garis selari, nelayan boleh turunkan pukat mereka tanpa perlu memikirkan pukat itu akan tersangkut lagi.

"Kita akan bekerjasama dengan agensi seperti Jabatan Laut, Tanjung Beruas Port dan Pelabuhan Kelang bagi penyusunan semula plot tempat kapal-kapal ini berlabuh," katanya kepada pemberita di Jeti Perlindungan Sumber Jabatan Perikanan di Banda Hilir di sini.

Terdahulu beliau meninjau kawasan tangkapan ikan nelayan di perairan Melaka Tengah yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Mohd Fauzi Salehon.

Dr Akmal berkata, pada masa sama pihaknya akan menyemak penjadualan kapal yang keluar masuk dan mengehadkan satu kapal pada satu-satu kawasan yang ditetapkan selain memastikan susunan kapal itu dalam kedudukan selari dalam satu garisan.

Katanya, dengan penyusunan plot itu nelayan yang memasuki kawasan zon kapal berlabuh masih boleh menjalankan aktiviti tangkapan mereka tanpa merosakkan jaring atau pukat. - Bernama

Artikel Berkaitan: