Semua mufti disaran aktif di media sosial - Mohd Na’im

Mohd Na’im (kiri) bersama Dr Wan Sobri melihat potret Almarhum Harussani yang dipamerkan di Perpustakaan Raja Ashman Shah sempena Seminar Antarabangsa Pemikiran Mufti Harussani pada Selasa.
Mohd Na’im (kiri) bersama Dr Wan Sobri melihat potret Almarhum Harussani yang dipamerkan di Perpustakaan Raja Ashman Shah sempena Seminar Antarabangsa Pemikiran Mufti Harussani pada Selasa.
A
A
A

KUALA KANGSAR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menyarankan mufti-mufti di setiap negeri aktif di media sosial bagi memurnikan kefahaman rakyat.

Beliau berkata, ketika ini begitu banyak isu yang menyentuh agama disebarkan dan dikongsi di media sosial tanpa rujukan yang betul menyebabkan sebahagian masyarakat terutama generasi muda terkeliru dan bercelaru.

"Anak-anak muda mereka ini terbiasa menerima apa sahaja yang disampaikan melalui media sosial, mereka sangat tertarik dan mudah terpengaruh walau dengan hanya melihat video pendek di TikTok.

"Jadi kalau golongan agamawan tidak mengambil pendekatan mempelajari perkembangan media sosial yang begitu cepat bergerak ini, maka kita akan ketinggalan," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Antarabangsa Pemikiran Mufti Harussani di Dewan Serbaguna Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di sini pada Selasa.

Hadir sama, Mufti Perak, Datuk Wan Zahidi Wan Teh; Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor dan Naib Cancelor USAS, Profesor Datuk Dr Wan Sobri Wan Yusuf.

Mohd Na’im berkata, kegagalan golongan ulama dan ilmuan ke hadapan memberikan penjelasan dan pencerahan kepada masyarakat hanya akan membuka ruang pihak tidak bertanggungjawab memanipulasi keadaan.

Beliau memberi contoh, perkara melibatkan sensitiviti agama dan isu semasa, kehadiran pihak tertentu termasuk ahli politik yang tampil memberi penerangan hanya menyebabkan masyarakat berpecah belah disebabkan pandangan yang berbeza.

"Kalau boleh masa saya ini, saya nak jadikan mufti sebagai ikon, orang penting dalam masyarakat yang mana jika ada sebarang isu, kena rujuk kepada mufti-mufti.

Artikel Berkaitan:

"Sebab mereka ada autoriti, ada ilmu pengetahuan dan dilantik pula sultan negeri-negeri maka apabila mereka beri pandangan, masyarakat kena terima," katanya.

Sementara itu, beliau menyambut baik penganjuran Seminar Antarabangsa Pemikiran Mufti Harussani sebagai satu medium memperkasa institusi kefatwaan di negara ini.

Mohd Na’im (dua dari kiri) bersama Dr Wan Sobri melihat pameran sempena Seminar Antarabangsa Pemikiran Mufti Harussani di Perpustakaan Raja Ashman Shah pada Selasa.
Mohd Na’im (dua dari kiri) bersama Dr Wan Sobri melihat pameran sempena Seminar Antarabangsa Pemikiran Mufti Harussani di Perpustakaan Raja Ashman Shah pada Selasa.

Katanya, sumbangan dan pemikiran Almarhum yang mencakupi segala bidang termasuklah kehakiman, pendidikan, perbankan Islam dan akidah berperanan besar dalam memberikan bimbingan serta jawapan terhadap setiap kemusyikilan agama yang timbul dalam masyarakat.

"Saya dimaklumkan, semua kertas kerja yang dibentangkan dalam seminar ini akan dibukukan sebagai prosiding.

"Ini satu usaha yang murni supaya nanti menjadi satu karya yang boleh dijadikan rujukan dan dibaca generasi semasa dan akan datang," katanya.

Seminar anjuran USAS yang berlangsung selama dua hari sehingga Rabu itu membentangkan 24 kertas kerja hasil kajian dan penyelidikan terhadap pemikiran dan sumbangan Almarhum Tan Sri Harussani Zakaria sepanjang hayat beliau.

Pembentang utama termasuklah, Wan Zahidi; Ketua Hakim Syarie Perak, Datuk Ab Rahman Thobroni Mohd Mansor dan Pengarah Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Dr Mohd Farid Mohd Shahran.

Almarhum Harussani yang meninggal dunia pada 30 Mei 2021 merupakan Mufti Perak yang paling lama berkhidmat dalam sejarah iaitu selama 36 tahun sejak tahun 1985 hinggalah beliau kembali ke rahmatullah.