[VIDEO] Diperintah bela diri tiga kes dadah, Yasin pilih diam diri

A
A
A

PETALING JAYA - [DIKEMAS KINI] Penyanyi dan komposer, Yasin Sulaiman diperintah membela diri oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa, atas tiga pertuduhan dadah yang dihadapinya.

Hakim, Faiz Dziyauddin memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan prima facie di akhir kes pendakwaan terhadap penyanyi yang popular dengan lagu Mimpi Laila itu.

Semasa membaca keputusan hakim berkata, selepas meneliti dan menimbang keterangan saksi-saksi secara maksimum, mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie terhadap ketiga-tiga pertuduhan tersebut.

Mahkamah kemudiannya memberikan tiga pilihan kepada tertuduh iaitu pertama, memberi keterangan bersumpah dalam kandang tertuduh di mana pihak pendakwaan boleh menyoal balas keterangan itu.

Yasin dibawa ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada Selasa untuk mendengar keputusan tiga kes dadah yang dihadapinya. - FOTO MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
Yasin dibawa ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada Selasa untuk mendengar keputusan tiga kes dadah yang dihadapinya. - FOTO MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH

Kedua pula, memberi keterangan dalam kandang tertuduh tanpa mengangkat sumpah dan pendakwaan tidak boleh menyoal balas keterangan tertuduh atau berdiam diri serta tidak menjawab pertuduhan.

Mendengar perkara itu, Yasin memilih pilihan ketiga.

Sementara itu, peguam, Ariff Azami Hussein mewakili Yasin berkata, pihaknya bersedia untuk meneruskan prosiding bela diri dan memohon untuk memanggil saksi pembelaan pertama, Pakar Perunding Forensik Psikiatri Hospital Bahagia Ulu Kinta, Dr Ian Lloyd Anthony, 43.

Artikel Berkaitan:

Pada 15 September lalu, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil tujuh saksi semasa perbicaraan bermula 28 Ogos lepas.

Antara saksi pendakwaan yang dipanggil memberi keterangan ialah ahli kimia Dr J Saravanan Kumar; pegawai penyiasat Inspektor Muhammad Amirul Mukmin Aziz; pegawai sains (kimia hayat) di Jabatan Patologi Hospital Tenglu Ampuan Rahimah Klang Rusli Ibrahim.

Selain itu, saksi lain ialah pakar bioteknologi tumbuhan, Profesor Dr S Sreeramanan dan Pegawai Risikan, Operasi dan Tahanan, Bahagian Siasatan Jenayah Narikotik, Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, Inspektor Darwis Aripin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul FaridahRaja Zaharudin dan Ahmad Zuhaini Mahamad Amin.

Pada 6 Julai tahun lalu, Muhammad Yasin bernasib baik apabila tidak berdepan peruntukan hukuman gantung sampai mati atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 214 gram.

Ia selepas pendakwaan memaklumkan pertuduhan mengedar dadah ditarik balik dan penyanyi dituduh semula atas pertuduhan baharu iaitu memiliki dadah seberat 193.7 gram.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini jam 5.30 petang pada 24 Mac 2022 dan dituduh mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Ia memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun penjara dan tidak kurang 10 sebatan.

Sementara itu, bagi satu lagi pertuduhan, Muhammad Yasin mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya kanabis yang diperoleh secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 6B(1)(a) ADB 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6B(3) akta sama kanun keseksaan yang memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan.

Muhammad Yasin turut didakwa atas satu lagi pertuduhan dan mengaku tidak bersalah iaitu memberikan dirinya dadah berbahaya jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, jam 11.05 malam pada tarikh sama.

Bagi kesalahan itu, pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 15 (1)(a) ADB 1952 dan boleh dihukum bawah Seksyen 15 (1) akta yang sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau dikenakan penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.