Keputusan kes dadah petang ini, Yasin mohon doa daripada semua

Yasin sempat menyapa pengamal media yang berada di luar mahkamah sejak jam 1 tengah hari.
Yasin sempat menyapa pengamal media yang berada di luar mahkamah sejak jam 1 tengah hari.
A
A
A

PETALING JAYA - "Doakan saya, terima kasih kerana datang," kata penyanyi dan komposer, Yasin Sulaiman di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa, untuk keputusan tiga kes dadah yang dihadapinya.

Yasin, 47, yang memakai baju kemeja berwarna hitam dan kelihatan ceria, dibawa oleh pihak polis ke mahkamah sempat menyapa pengamal media yang berada di luar mahkamah sejak jam 1 tengah hari.

Sebentar lagi, Hakim Faiz Dziyauddin akan memutuskan sama ada penyanyi yang popular dengan lagu Mimpi Laila itu dibebaskan atau diperintah membela diri atas tiga pertuduhan dadah.

Pada 15 September lalu, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil tujuh saksi semasa perbicaraan bermula 28 Ogos lepas.

Antara saksi pendakwaan yang dipanggil memberi keterangan ialah ahli kimia Dr J Saravanan Kumar; pegawai penyiasat Inspektor Muhammad Amirul Mukmin Aziz; pegawai sains (kimia hayat) di Jabatan Patologi Hospital Tenglu Ampuan Rahimah Klang Rusli Ibrahim.

Selain itu, saksi lain ialah pakar bioteknologi tumbuhan, Profesor Dr S Sreeramanan dan Pegawai Risikan, Operasi dan Tahanan, Bahagian Siasatan Jenayah Narikotik, Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, Inspektor Darwis Aripin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul FaridahRaja Zaharudin dan Ahmad Zuhaini Mahamad Amin sementara peguam, Ariff Azami Hussein mewakili Yasin, 47.

Pada 6 Julai tahun lalu, Muhammad Yasin bernasib baik apabila tidak berdepan peruntukan hukuman gantung sampai mati atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 214 gram.

Artikel Berkaitan:

Ia selepas pendakwaan memaklumkan pertuduhan mengedar dadah ditarik balik dan penyanyi dituduh semula atas pertuduhan baharu iaitu memiliki dadah seberat 193.7 gram.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini jam 5.30 petang pada 24 Mac 2022 dan dituduh mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Ia memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun penjara dan tidak kurang 10 sebatan.

Sementara itu, bagi satu lagi pertuduhan, Muhammad Yasin mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya kanabis yang diperoleh secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 6B(1)(a) ADB 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6B(3) akta sama kanun keseksaan yang memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan.

Muhammad Yasin turut didakwa atas satu lagi pertuduhan dan mengaku tidak bersalah iaitu memberikan dirinya dadah berbahaya jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, jam 11.05 malam pada tarikh sama.

Bagi kesalahan itu, pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 15 (1)(a) ADB 1952 dan boleh dihukum bawah Seksyen 15 (1) akta yang sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau dikenakan penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.