Pas belum putuskan calon PRK Kemaman - Ahmad Samsuri

Ahmad Samsuri
Ahmad Samsuri
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pas masih belum memutuskan calon untuk bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) Kemaman susulan keputusan parti itu tidak akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan petisyen pilihan raya bagi Parlimen berkenaan.

Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memaklumkan pihaknya juga bersedia untuk menghadapi PRK yang bakal diadakan nanti.

"Kita bersedia untuk sertai PRK dan kita belum buat keputusan (kekalkan calon yang sama atau tukar).

"Kita yakin boleh menang lebih lagi dan akan bekerja ke arah itu (majoriti besar). Insya-ALLAH, kita yakin seperti mana sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, di sini pada Selasa.

Pada Selasa, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyatakan pihaknya tidak akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan petisyen pilihan raya bagi Parlimen Kemaman.

Takiyuddin berkata, keputusan itu dibuat susulan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, Anselm Charles Fernandis mengesahkan terdapat unsur rasuah bagi pilihan raya parlimen berkenaan, namun tidak menamakan mana-mana pihak.

Jelas Takiyuddin, parti itu juga bersedia dengan sebarang kemungkinan termasuk PRK yang bakal diadakan dalam masa terdekat.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata, Pas tidak pernah menganggap mana-mana kerusi ditandingi termasuk Ru Rendang mudah dimenangi.

Artikel Berkaitan:

"Mana yang ada kita anggap satu medan untuk bekerja keras dan bekerja sepenuh hati daripada jentera.

"Saya percaya rakyat yang berada di kawasan itu (Kemaman) juga teruja nak beri kemenangan pada calon Pas pada pilihan raya nanti," ujarnya.

Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu menerima petisyen yang difailkan seorang pengundi bagi membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Kemaman dari Pas, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Keputusan itu dibuat Anselm setelah mendapati wujud unsur sogokan kepada pengundi ketika tempoh kempen pilihan raya bagi parlimen berkenaan.

Pada 3 Januari lalu, bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said memberitahu, pihaknya memfailkan petisyen memohon mahkamah membatalkan keputusan PRU15 melibatkan Parlimen Marang, Kemaman dan Kuala Terengganu.

Menurut Ahmad, petisyen itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu kerana didakwa berlakunya pengagihan wang secara berleluasa di ketiga-tiga kawasan itu.

Bagaimanapun, pada 12 Februari lalu, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu menolak petisyen yang dikemukakan Barisan Nasional (BN) dan mengekalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid di Parlimen Kemaman pada PRU15.

Hakim Datuk Mohamad Abazafree Mohd Abas membuat keputusan tersebut selepas bersetuju bantahan awal responden Ahli Parlimen Kemaman terhadap petisyen keputusan bagi Parlimen tersebut.

Namun, pada 2 Mei lalu, Mahkamah Persekutuan memerintahkan petisyen pilihan raya yang difailkan untuk mencabar keputusan PRU15 bagi Parlimen Kemaman dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan penuh.

Panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat membenarkan rayuan yang dikemukakan oleh BN dan pengundi dari Parlimen Kemaman supaya mahkamah mendengar perbicaraan penuh petisyen berkenaan.

Ahmad tewas dalam pertembungan empat penjuru di Parlimen Kemaman pada PRU15.

Beliau yang merupakan Pengerusi UMNO Terengganu tewas kepada Che Alias Hamid dengan majoriti 27,179 undi.

Che Alias yang juga penyandang kerusi Parlimen itu memperoleh 65,714 undi, manakala Ahmad mendapat 38,535 undi.

Dua lagi pencabarnya, iaitu calon Pakatan Harapan (PH), Hasuni Sudin memperoleh 8,340 undi, manakala Rosli Ab Ghani dari Pejuang memperoleh 506 undi.