Karnival UDA 2023 bermula

Galakkan aktiviti keusahawanan, pemilikan hartanah bandar

A
A
A

Mohd Jafni (tiga, kiri) menyempurnakan gimik pelancaran Karnival UDA 2023 @ Angsana Johor Bahru Mall sambil disaksikan Mohd Salem (dua, kiri) di Johor Bahru,Johor pada Sabtu.
Mohd Jafni (tiga, kiri) menyempurnakan gimik pelancaran Karnival UDA 2023 @ Angsana Johor Bahru Mall sambil disaksikan Mohd Salem (dua, kiri) di Johor Bahru,Johor pada Sabtu.

JOHOR BAHRU - Syarikat pembangunan hartanah dan pengurusan aset, UDA Holdings Berhad (UDA) menggabungkan program USHAniaga dan kempen UDA Ria dalam penganjuran Karnival UDA 2023 yang bermula di Angsana Johor Bahru Mall pada 29 September hingga 1 Oktober.

Program USHAniaga merupakan platform yang menyediakan pelbagai insentif kepada usahawan melaksanakan aktiviti jualan dan perniagaan manakala UDA Ria membawakan pelbagai jenis hartanah pada harga serta promosi yang menarik kepada para pembeli hartanah.

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Datuk Sr Mohd Salem Kailany, kedua-dua program itu digabungkan dalam usaha memastikan Karnival UDA 2023 memberikan impak maksimum kepada semua usahawan termasuk orang ramai yang menghadiri karnival tersebut.

Mohd Salem (dua, kanan) menerangkan kepada Mohd Jasni berkenaan hartanah UDA yang ditawarkan kepada bakal pembeli.
Mohd Salem (dua, kanan) menerangkan kepada Mohd Jasni berkenaan hartanah UDA yang ditawarkan kepada bakal pembeli.

“Melalui gabungan dua acara ini, ia membuktikan komitmen UDA yang sentiasa mempergiatkan aktiviti keusahawanan serta sosioekonomi setempat di samping mempromosikan hartanah UDA seterusnya menggalakkan pemilikan hartanah khususnya di kawasan bandar,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Mohd Salem berkata demikian selepas majlis pelancaran Karnival UDA 2023 @ Angsana Johor Bahru Mall yang disempurnakan oleh Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor.

Artikel Berkaitan:

Selain Johor Bahru, Karnival UDA 2023 bakal menemui pengunjung di lokasi utama di beberapa negeri iaitu di Pusat Komersial Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada 27 hingga 29 Oktober diikuti di Lintasan Deasoka, Kota Kinabalu, Sabah (24 hingga 26 November) manakala lokasi terakhir akan diadakan di Angsana Ipoh Mall, Perak pada 8 hingga 10 Disember ini.

Dua pengunjung mendengar dengan tekun penjelasan dari seorang petugas Karnival UDA 2023 @ Angsana Johor Bahru Mall.
Dua pengunjung mendengar dengan tekun penjelasan dari seorang petugas Karnival UDA 2023 @ Angsana Johor Bahru Mall.

Malah, UDA turut menyasarkan kehadiran seramai 100,000 pengunjung dalam karnival tersebut di kesemua lokasi yang terlibat.

Mengulas lanjut mengenai program USHAniaga, Mohd Salem memberitahu, ia merupakan aspirasi UDA untuk melahirkan usahawan tempatan yang mampan menerusi aktiviti menjejaki, mendekati, membimbing serta mentransformasikan potensi golongan itu supaya lebih berdaya saing sama ada di peringkat pasaran domestik dan antarabangsa.

Pada masa sama, program itu juga membuka ruang kepada para usahawan tempatan membina jaringan hubungan dengan rakan kolaborasi termasuk pempengaruh (influencer) yang akan memantapkan lagi pemasaran produk mereka kepada komuniti pengguna yang lebih luas.

Mohd Jafni bertanyakan sesuatu kepada seorang usahawan program USHAniaga sempena Karnival UDA 2023 @ Angsana Johor Bahru Mall.
Mohd Jafni bertanyakan sesuatu kepada seorang usahawan program USHAniaga sempena Karnival UDA 2023 @ Angsana Johor Bahru Mall.

“Selain itu, program USHAniaga turut berperanan sebagai medan mempromosikan kemudahan serta insentif pembangunan usahawan yang disediakan oleh pihak UDA bersama agensi-agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP),” jelasnya.

Sementara itu, kempen UDA Ria 2023 kata Mohd Salem, ialah aktiviti pemasaran tahunan UDA berkenaan hartanah yang telah dimulakan pada Julai lalu dan akan berakhir pada Julai 2024.

Menurutnya, objektif utamanya UDA Ria untuk memperkenalkan produk-produk hartanah terkini UDA yang disusuli dengan tawaran skim kepada bakal pembeli dan ganjaran pelbagai hadiah menarik bernilai kira-kira RM200,000.

Antara usahawan yang mmenyertai program USHAniaga sempena Karnival UDA 2023 di Johor Bahru pada Sabtu.
Antara usahawan yang mmenyertai program USHAniaga sempena Karnival UDA 2023 di Johor Bahru pada Sabtu.

Antara hadiah utama yang ditawarkan ialah dua buah kereta Perodua Ativa-Turbo X dan percutian ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE); Korea Selatan, Bali (Indonesia) dan Semporna, Sabah.

Dengan konsep ‘Sempurna Untuk Semua Generasi’, pengunjung juga berpeluang berinteraksi dengan pakar-pakar jualan hartanah UDA sekali gus membimbing mereka bagaimana untuk memiliki kediaman sendiri.

Bagi para usahawan, karnival itu turut menyediakan kelas bimbingan dan konsultasi (Biz Clinic), padanan perniagaan (Business Matching) dan Entrepreneurs Talk yang memberi manfaat kepada mereka.

Pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan artis jemputan selain berpeluang menyertai Kidz Zumba, pertandingan mewarna kanak-kanak, Family Mini Hunt dan juga Fire Show sempena karnival berkenaan.

Reaksi

HARUN
HARUN



“Memang bagus karnival yang UDA anjurkan ni sebab orang ramai dapat tengok sendiri dan dapat macam-macam maklumat. Mungkin selepas ini pihak UDA boleh memperkenalkan lebih banyak pula rumah-rumah mampu milik.”- Kakitangan kerajaan, Harun Misno, 43.

“Karnival ni memang sesuai dianjurkan dan kalau boleh dianjurkan selalu. Orang ramai boleh tengok jenis rumah dan pakej-pakej yang ada dari segi harga dan lokasi.”- Kakitangan swasta, Izwan Ahmad Mustapha, 35.

AZHAR
AZHAR

“Orang ramai yang datang ke karnival ni sangat bertuah kerana mereka dapat lihat sendiri jenis rumah yang dipamerkan. Mereka juga boleh dapat nasihat daripada perunding perumahan supaya mendapat maklumat jelas untuk membeli kediaman sendiri.”- Kakitangan swasta, Azhar Yusof, 52.

“Karnival ini amat membantu kepada orang seperti saya untuk membeli rumah. Pakej-pakej yang disediakan amat menarik.”- Kakitangan swasta, Mohd Faizul Azmi, 25.

SYAHIRAH
SYAHIRAH

“Karnival ni memang bagus. Mungkin ada rumah yang boleh dibeli dengan harga yang mampu milik dan para pakar perumahan yang dijemput banyak memberi manfaat kepada orang ramai.”- Graduan, Syahirah Thamrin, 26.