Warga Felda Chemomoi harap segerakan capaian 5G, lampu jalan

Penduduk Felda Chemomoi mahu kerajaan segerakan capaian rangkaian 5G dan kemudahan lampu jalan di kawasan berkenaan. (Gambar kecil: Mohd Khairil (kiri), Afiq Danish, Mohd Syaiful, Wan Isniza)
Penduduk Felda Chemomoi mahu kerajaan segerakan capaian rangkaian 5G dan kemudahan lampu jalan di kawasan berkenaan. (Gambar kecil: Mohd Khairil (kiri), Afiq Danish, Mohd Syaiful, Wan Isniza)
A
A
A

BENTONG - Perkhidmatan internet pantas atau capaian rangkaian 5G di kawasan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) di seluruh negara antara kemudahan yang dinanti-nantikan oleh warga Felda.

Bagi generasi muda di Felda Chemomoi, mereka amat mengalu-alukan langkah tersebut yang disifatkan banyak membantu dalam kehidupan harian mereka.

Pelajar Tingkatan Enam, Mohd Khairil Izam Mat Lizah, 18, berkata, dia amat memerlukan perkhidmatan tersebut dalam urusan pembelajaran yang banyak membantu dirinya untuk menyiapkan pelbagai tugasan.

"Gembira apabila kerajaan umumkan kawasan Felda tidak dipinggirkan untuk liputan 5G dan berharap ia disegerakan secepat mungkin," ujarnya.

Rakannya, Afiq Danish Badrul Hisham, 18, turut menghargai komitmen kerajaan untuk membantu warga Felda sepertinya yang melihat ia satu kemudahan seiring dengan perkembangan teknologi.

"Harap ia segera jadi kenyataan kerana dalam kepesatan teknologi, liputan 5G amat diperlukan dalam kehidupan harian pada masa kini," jelas remaja tersebut.

Pada Sabtu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan kerajaan akan mengambil tindakan secepat mungkin untuk liputan 5G selain mengatasi pelbagai isu infrastruktur yang menjadi rungutan warga Felda.

Selain liputan 5G, kemudahan lampu jalan seperti dijanjikan kerajaan juga antara infrastruktur yang melegakan hati warga Felda di sini.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mohd Syaiful Roslan, 33, memberitahu, kemudahan lampu jalan antara yang ditagih kerana ia melibatkan aspek keselamatan penduduk di kawasan rancangan Felda terbabit dan sekitarnya.

"Banyak kemalangan berlaku sebelum ini dan saya berharap ia disegerakan demi kemudahan pengguna," jelas generasi ketiga rancangan itu.

Nada sama turut disuarakan generasi ketiga Felda itu, Wan Isniza Meor Ismail, 40, yang berharap ia bukan janji semata-mata sebaliknya menjadi kenyataan seperti yang diharapkan penduduk.

"Memang perlu banyak lampu jalan seperti jalan masuk ke Telemong hingga ke Chemomoi, risau bila waktu malam, bahaya buat pengguna jalan raya," tambah wanita tersebut.