Ramai tak tahu kegunaan lantai 'tactile' untuk OKU

Lelaki OKU buta mengalihkan motosikal yang menghalang laluan tactile.
Lelaki OKU buta mengalihkan motosikal yang menghalang laluan tactile.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tindakan seorang wanita menularkan kegigihan seorang lelaki buta mengalihkan motosikal yang menghalang laluan 'tactile' mendapat reaksi positif netizen.

Video berdurasi 28 saat itu dikongsikan wanita berkenaan di salah sebuah stesen Transit Aliran Massa (MRT) yang tidak dimaklumkan secara lanjut.

"Nak ambil suami di salah satu stesen MRT. Gigih dia (lelaki buta) alih motosikal yang halang laluan tactile.

"Ayuh sediakan laluan tactile yang selamat dan bebas halangan untuk keselamatan orang buta yang melaluinya," tulisnya pada video tersebut.

Seorang pengguna Twitter, Dhadhahar meluahkan rasa senang akan tindakan wanita itu yang lebih tertarik merakam daripada membantu.

"Kenapa rasa nak lempar telefon orang yang rakam ini. Jenis pandai cakap tapi tak tolong. Harey punya perangai" tulisnya diruangan komen.

Bagaimanapun pengguna lain, Azizul Azhar menyokong tindakan wanita itu yang dianggap bagus bagi memberikan kesedaran kepada orang awam mengenai kegunaan tactile tersebut.

"Barulah satu alam semesta tahu. Kalau dia tidak rakam tak dapat nak didik netizen supaya lebih sensitif dengan keadaan sekeliling orang OKU.

"Orang tak akan nampak susahnya OKU berdepan masalah ini jadi kalau sudah tular baru orang sedar.

"Pihak berkuasa pun boleh nampak dengan luas masalah ini. Kalau lempar telefon, satu apa pun tak dapat," komennya.

Dalam pada itu, rata-rata pengguna juga tidak sedar akan kegunaan tactile tersebut sehingga video tersebut tular.

"Ya ALLAH, 20 tahun hidup baru tahu sebab bentuk lantai dia lain, rupanya untuk laluan OKU," tulis Yan.

"Ohh ingat laluan biasa. Maaf kak nanti saya tak parkir sana. Itu bukan motor (motosikal) saya cuma selalu juga parkir macam tu," komen Mrpo72.