Perak terus rentak kemenangan

Pemain Perak, Ronaldo Henrique Silva (kanan) menanduk bola ke arah gawang gol ketika bertemu pasukan PKNP, pada saingan Liga Super Malaysia di Stadium Perak malam ini.
Keputusan semasa Perak mendahului 2-1.- Foto Bernama
Pemain Perak, Ronaldo Henrique Silva (kanan) menanduk bola ke arah gawang gol ketika bertemu pasukan PKNP, pada saingan Liga Super Malaysia di Stadium Perak malam ini. Keputusan semasa Perak mendahului 2-1.- Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Perak meneruskan rentak kemenangan selepas sekali lagi menjinakkan 'adik' mereka PKNP FC 3-1 pada perlawanan Liga Super di Stadium Perak.

Sabtu lalu, skuad Perak mara ke perlawanan separuh akhir Piala FA minggu lalu menewaskan PKNP FC di tempat sama.

Tuan rumah mendahului pada minit ke-6 melalui jaringan pemain import baharu mereka, Careca akibat kesilapan benteng pertahan.

Beberapa minit berselang, Perak sekali lagi memperoleh peluang menambah jaringan melalui hantaran Muhammad Shahrel Fikri tetapi gagal ditanduk kemas Ronaldo Henrique Silva.

Bagaimanapun PKNP FC memperoleh peluang terbaik menyamakan kedudukan pada minit ke-12, namun rembatan Mohamad Hafiz Ramdan tepat ke arah penjaga gol Perak, Khairul Amri Salehuddin.

Perak dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-28 apabila Amani Santos Aquinaldo menjatuhkan Nor Hakim dalam kawasan penalti.

Ronaldo Henrique Silva dengan tenang menyempurnakan jaringan sekaligus menambah jurang gol kepada 2-0.

Kad pertama perlawanan kemudiannya dilayangkan pengadil perlawanan, Mohammad Zamzaidi Katimin ke atas Leandro kerana bola terkena tangan pemain Perak itu pada minit ke-31.

Artikel Berkaitan:

Gawang gol Perak hampir bocor pada minit ke-36 apabila rembatan penyerang PKNP FC, Giancarlo ke arah pintu gol yang terbuka luas diselamatkan Nazirul Naim Che Hashim.

Selang seminit kemudian, pertahanan Perak dihukum selepas Yashir Pinto mengambil kesempatan menanduk masuk bola akibat kesilapan Idris Ahmad yang gagal mengeluarkan bola dari kotak penalti menjadikan kedudukan 2-1 sehingga tamat babak pertama.

Bermula babak kedua, PKNP FC mengatur strategi dengan membuat pertukaran pertama mengeluarkan Ahmad Sukri Hamid dengan diganti Mohamad Al-Fateh.

Pasukan pelawat terus memberikan tekanan untuk menyamakan kedudukan namun beberapa percubaan gagal disudahkan dengan kemas.

Perak pula membuat dua pertukaran memasukkan J Partiban menggantikan Mohd Nor Hakim Hassan dan Brendan Gan menggantikan Firdaus Saiyadi.

Pada minit ke- 70 Perak menambah derita PKNP FC melalui sepakan percuma Nazirul Naim Che Hashim yang berjaya menerjah jaring untuk anak buah Mehmed Durakovic mendahului 3-1 sehingga tamat perlawanan.

Keputusan tersebut sekaligus membawa Perak naik ke tangga kelima Liga Super dengan 17 mata manakala PKNP FC kekal ditangga ke-10 dengan 11 mata.