Mufti nasihatkan hindari jenayah qazaf

Wan Salim
Wan Salim
A
A
A

GEORGE TOWN - Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor kesal dengan tindakan sekumpulan lelaki yang mengulangi kembali tuduhan lama terhadap seorang pemimpin sebagai peliwat.

Wan Salim berkata, kumpulan itu seolah-olah meremehkan jenayah qazaf yang dilarang keras agama Islam kerana tuduhan terhadap seseorang yang melakukan zina atau liwat tanpa membawa empat orang saksi lelaki.

Menurut Wan Salim, Islam juga tidak membenarkan seorang Muslim melontar ungkapan buruk ke atas saudaranya sama ada secara berhadapan mahu pun ketika ketiadaannya.

"Islam menghendaki umatnya supaya menutup keaiban mana-mana individu di samping menghormati privasinya. Agama Islam amat mengambil berat dalam memelihara kehormatan seseorang insan.

"Sebagai seorang mufti yang diamanahkan untuk menjelaskan hukum syarak kepada masyarakat terutama penganut agama Islam, saya amat kesal dan kecewa apabila menyaksikan sebuah video yang memaparkan beberapa orang lelaki dalam keadaan selamba sambil ketawa mengulangi kembali tuduhan lama terhadap seorang pemimpin yang kononnya melakukan perbuatan liwat," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Tambah beliau, untuk menakutkan masyarakat daripada melakukan jenayah qazaf, hukuman maksimum perlu dikenakan ke atas pelakunya tanpa belas kasihan supaya masyarakat dapat dibersihkan daripada anasir keji itu.

"Hukuman ke atas pelaku jenayah ini juga dijelaskan di dalam al-Quran iaitu dikenakan 80 kali sebatan sekiranya tidak mendatangkan empat orang saksi yang menyaksikan perbuatan itu secara tidak meragukan sama sekali.

"Penjenayah qazaf juga dikenakan hukuman moral-sosial dengan tidak diterima penyaksiannya selama-lamanya di samping hukuman keagamaan iaitu dia dianggap seorang fasiq yang diancam dengan seksaan neraka di akhirat nanti seperti yang dijelaskan dalam surah as-Sajdah.

Artikel Berkaitan:

"Dari segi hukuman pula, mereka boleh dikenakan mengikut Seksyen 41 Akta Kesalahan Jenayah Wilayah Persekutuan 1997 yang sabit kesalahan boleh dikenakan denda RM5,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya," katanya.

Tambah beliau, Islam juga melarang umatnya mencari-cari keaiban sesama Muslim.

"Saya meminta seluruh masyarakat Islam di negara ini supaya menghindari jenazah qazaf yang keji ini.

"Elakkan diri daripada terjatuh ke dalam jurang dosa besar yang mana, pelakunya diancam dengan balasan seksaan api neraka yang dahsyat," katanya.

Wan Salim turut menegaskan bahawa kenyataan beliau tidak mempunyai sebarang niat lain untuk membela mana-mana pihak.

Sebelum ini, satu klip video memaparkan tujuh lelaki dalam keadaan bergelak ketawa dengan kapsyen 'Kami Yakin Anwar Peliwat' tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi daripada warga net.