Ujian MUET hanya kepada guru opsyen bahasa Inggeris

Habibah
Habibah
A
A
A

PUTRAJAYA - Arahan Kementerian Pendidikan supaya guru mengajar bahasa Inggeris menduduki Malaysian University English Test (MUET) hanya terpakai kepada guru opsyen bahasa Inggeris.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Dasar dan Pembangunan Pendidikan) Kementerian Pendidikan, Dr Habibah Abdul Rahim berkata, langkah itu dibuat bagi memastikan semua guru mata pelajaran itu mencapai tahap penguasaan yang terbaik.

Menurutnya, pemilihan MUET dibuat kerana ia dibina menggunakan kepakaran tempatan dan dinilai berlandaskan Common European Framework of Reference for Languages (CEFR).

“Fokus kita (Kementerian Pendidikan) adalah kepada guru opsyen bahasa Inggeris (untuk ambil ujian MUET), kita tidak minta kepada guru yang bukan opsyen (bahasa Inggeris) untuk ambil ujian ini.

“Pelaksanaan yang kita buat ini (ambil ujian MUET) supaya guru dapat mencapai tahap yang sepatutnya (dalam bahasa Inggeris),” katanya pada sidang media khas di pejabatnya di sini hari ini.

Habibah berkata, ketika ini terdapat seramai 41,676 guru opsyen bahasa Inggeris di seluruh negara.

“Jika diikutkan jumlah yang ada sekarang sudah mencukupi tetapi jika berdasarkan jumlah normal yang seharusnya ada adalah seramai 44,924 orang opsyen bahasa Inggeris,” katanya.

Sementara itu, ditanya jumlah peratusan guru opsyen bahasa itu yang mengambil ujian MUET, Habibah berkata, sebanyak 50 peratus daripada 41,676 guru berkenaan telah menduduki ujian tersebut.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin dalam satu pekeliling pada 14 April lalu mengeluarkan arahan supaya guru mengajar bahasa Inggeris menduduki peperiksaan MUET.

Pelaksanaan itu dibuat bagi melihat semula tahap penguasaan bahasa Inggeris.