Pendakwaan rayu pembebasan Muhyiddin berdasarkan 13 alasan

Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin
A
A
A

PUTRAJAYA - Pihak pendakwaan memohon kepada Mahkamah Rayuan, di sini pada Selasa lalu supaya mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan memerintahkan supaya pertuduhan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin dikekalkan semula.

Melalui petisyen difailkan, pihak pendakwaan selaku perayu mengemukakan 13 alasan dalam petisyen rayuan, berhubung pembebasan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu daripada empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk rasuah berjumlah RM232.5 juta bagi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Antara alasan yang dikemukakan, perayu berkata, Hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila melaksanakan kuasa sedia ada secara sewenangnya untuk membatalkan pertuduhan terhadap Muhyiddin, 76, selaku responden.

Sedangkan pendakwaan berkata, keputusan itu bukan kes yang sesuai bagi mahkamah berbuat demikian.

"Ia merupakan suatu yang pramatang di peringkat ini untuk menghalang pihak pendakwaan daripada mengemukakan keterangan yang relevan dan boleh diterima semasa perbicaraan, melalui saksi-saksi dan keterangan bagi membuktikan kes.

"Bukan itu sahaja, permohonan responden sebelum ini merupakan satu penyalahgunaan proses mahkamah kerana ia pramatang dan perbicaraan masih belum dimulakan," kata pendakwaan menerusi dokumen petisyen.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin ketika dihubungi media, mengesahkan mengenai petisyen rayuan berkenaan.

Pada 27 September lalu, Mahkamah Rayuan menetapkan Februari 2024 bagi pendengaran rayuan pendakwaan terhadap keputusan membebaskan Muhyiddin atas empat pertuduhan itu.

Artikel Berkaitan:

Tarikh-tarikh pendengaran yang telah ditetapkan itu selama dua hari iaitu pada 28 dan 29 Februari.

Perayu mendakwa, hakim terkhilaf apabila gagal mendapati bahawa parti Bersatu merupakan sebuah organisasi sepertimana termaktub dalam takrifan perkataan 'sekutu' dalam Seksyen 3 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Walaupun Bersatu merupakan parti politik yang didaftarkan bawah Seksyen 7(1) Akta Pertubuhan 1966 (Disemak 2021), ia tidak mengubah sifat utama partinitu sebagai satu pertubuhan.

Menurutnya, hakim juga terkhilaf apabila mendapati tafsiran sekutu itu bersifat terhad dan menyekat, sedangkan perlaksanaannya hendaklah merangkumi semua kategori, sama ada bersifat individu, berkumpulan, entiti perniagaan atau organisasi.

Pendakwaan berkata, hakim terkhilaf apabila memerintahkan Presiden Bersatu ini dilepaskan dan dibebaskan sedangkan perbicaraan terhadapnya belum bermula, tanpa mempertimbangkan keseluruhan keterangan.

"Hakim terkhilaf apabila memutuskan bahawa pertuduhan yang dihadapi oleh Ahli Parlimen Pagoh ini adalah cacat, sedangkan ia bukannya satu perkara yang tidak dapat dipulihkan pada peringkat prosiding ini kerana pihak pendakwaan masih boleh mengemukakan keterangan untuk mengenal pasti pelanggaran dan meminda pertuduhan pada mana-mana peringkat perbicaraan dengan kebenaran mahkamah.

"Yang Arif juga terkhilaf apabila memutuskan pertuduhan itu mengelirukan responden, walhal ia boleh ditentukan pada akhir kes perbicaraan, dengan mengambil kira keseluruhan keterangan yang dikemukakan di hadapan hakim bicara," katanya.

Lebih-lebih lagi pendakwaan berkata, responden juga gagal untuk membuktikan bahawa pertuduhan terhadapnya adalah satu penyalahgunaan proses mahkamah.

Pada 15 Ogos lalu, Muhyiddin dilepas dan dibebaskan selepas berjaya membatalkan empat tuduhan salah guna kuasa untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi parti itu.

Hakim, Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan bahawa, keempat-empat pertuduhan tersebut adalah kabur dan tidak berasas kerana ia tidak menyatakan butiran kesalahan yang dilakukan.

Pada 18 April lalu, Muhyiddin memfailkan notis usul untuk membatalkan tuduhan itu dengan menamakan pendakwa raya sebagai responden.

Beliau turut memohon supaya dilepas dan dibebaskan daripada keempat-empat pertuduhan yang dikenakan terhadapnya selain berhasrat agar prosiding di Mahkamah Sesyen ditangguhkan.

Melalui afidavit sokongan difailkan bersama notis usul itu, Muhyiddin mendakwa empat tuduhan adalah cacat dan tidak sah di sisi undang-undang kerana bercanggah Seksyen 152 Kanun Acara Jenayah berikutan tiada mana-mana satu pun mendedahkan kesalahan bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pada 10 Mac lalu, Muhyiddin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta dan dua pengubahan wang haram sebanyak RM195 juta, antara tahun 2020 hingga 2022 lalu.

Ekoran kes terbabit, beliau menjadi bekas Perdana Menteri kedua selepas Datuk Seri Najib Tun Razak, dituduh atas pertuduhan mengikut peruntukan seksyen sama di mahkamah itu.

Pada 13 Mac pula, pemimpin politik tersebut didakwa atas pertuduhan ketujuh di Mahkamah Sesyen Shah Alam, selaku Presiden Bersatu menerima hasil daripada aktiviti haram iaitu wang RM5 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank, milik parti itu.