Klinik swasta ambil bahagian jadi klinik panel SPM - PPIM

Tangkap layar kenyataan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) pada Jumaat. Nadzim (kiri).
Tangkap layar kenyataan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) pada Jumaat. Nadzim (kiri).
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) meminta lebih banyak klinik swasta mengambil bahagian menjadi klinik panel Skim Perubatan Madani (SPM) agar usaha mengurangkan kesesakan pesakit di fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tercapai demi kebaikan rakyat.

Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, melalui skim itu, jumlah pesakit bahagian rawatan pesakit luar atau ringan di Jabatan Kecemasan dapat dikurangkan dan tumpuan diberikan kepada kes yang memerlukan rawatan segera.

“Inisiatif ini merupakan program rintis kerajaan melalui KKM bertujuan menampung keperluan kesihatan golongan B40 terhadap Penjagaan Kesihatan Primer Akut (Rawatan Pesakit Luar Kes-Kes Akut).

“Banyak aduan diterima berkaitan dengan kesesakan yang berlaku di hospital kerajaan terutama bahagian kecemasan.

“Saya yakin peningkatan kos sara hidup menyebabkan rakyat terpaksa ke sana walaupun terpaksa menunggu lama,” katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Berdasarkan laporan Sinar Harian pada 19 September lalu, sebanyak 80,000 isi rumah mendapat manfaat daripada SPM meliputi lebih 130,000 rawatan kesihatan pesakit luar bagi kes akut melalui klinik swasta sejak ia perkenalkan.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, bilangan rawatan yang diberikan kini hampir 4,000 sehari dan jumlah tersebut semakin meningkat.

Tambah Nadzim, PPIM berharap usaha baik tersebut diperluas dan diteruskan lagi untuk memudahkan rakyat golongan B40 mendapat kemudahan itu dengan kelayakan secara automatik tanpa memerlukan pendaftaran.

Artikel Berkaitan:

“Semua layak mendapat kemudahan ini tanpa mengira agama, bangsa dan kecenderungan politik.

“Rakyat perlu memeriksa kelayakan dan klinik panel di laman sesawang ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth) dan hanya membawa kad pengenalan ke sana,” ujarnya.