Berat badan berlebihan antara penyumbang penyakit kardiovaskular

Dr Muhammad Radzi
Dr Muhammad Radzi
A
A
A

PUTRAJAYA - Penyakit diabetes, hipertensi, berat badan yang berlebihan serta tahap kolesterol tinggi menyumbang kepada peningkatan penyakit kardiovaskular.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan memaklumkan pemakanan dan amalan gaya hidup yang tidak sihat seperti merokok, kurang bersenam, stres dan pengambilan alkohol juga meningkatkan risiko penyakit jantung.

"Berdasarkan laporan 'The Direct Healthcare Cost of Non-communicable Diseases in Malaysia' yang dikeluarkan pada tahun lalu, sebanyak RM3.93 bilion daripada jumlah keseluruhan RM9.65 bilion kos perawatan kesihatan adalah digunakan bagi perbelanjaan merawat pesakit jantung pada tahun 2017.

"Beban kos itu dijangka akan terus meningkat jika tindakan sewajarnya tidak diambil untuk mengawal dan mencegah penyakit tersebut," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang berusaha untuk memperkukuhkan aktiviti pencegahan serta pengesanan awal faktor risiko agar intervensi dan rawatan awal dapat diberikan.

Beliau berkata, antara usaha utama yang dilakukan adalah dengan memperkenalkan Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI) bermula Julai 2022 dan menyasarkan 1.5 juta rakyat Malaysia berumur 18 tahun.

"Saringan yang dilaksanakan termasuk pengukuran Indeks Jisim Tubuh atau BMI, pemeriksaan tekanan darah, ujian paras gula dan ujian paras kolesterol.

"Aktiviti saringan ini dilakukan di semua Klinik Kesihatan, melalui Peka B40 atau melalui program komuniti termasuk Komuniti Sihat Perkasa Negara atau KOSPEN dan program saringan dari rumah ke rumah melalui Program Madani Afiat," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Dr Muhammad Radzi berkata, sejak dilancarkan pada Julai 2022, seramai 2,128,048 individu telah membuat saringan di mana seramai 1,111,568 individu menjalankan saringan pada tahun ini sehingga 27 September lalu," katanya.

Beliau berkata, KKM juga sedang memperkukuhkan aktiviti intervensi termasuk hidup secara aktif dan promosi cara hidup sihat seperti aktiviti fizikal dan senaman, makan secara sihat, berhenti merokok dan minda sihat di semua lokaliti KOSPEN serta Pusat Promosi Kesihatan Komuniti.

"Saya meminta kepada semua lapisan masyarakat agar mengambil kesempatan untuk membuat saringan bagi mengenalpasti risiko yang anda hadapi agar masalah penyakit jantung dapat diatasi," katanya.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia telah menetapkan 29 September setiap tahun sebagai Sambutan Hari Jantung Sedunia.

Tema pada tahun adalah Use Heart, Know Heart iaitu Kenali Jantung, Hargai Jantung.

Sambutan hari kesihatan dilaksanakan bagi meningkatkan aktiviti advokasi mensasarkan semua lapisan masyarakat agar lebih cakna dengan kesihatan diri sendiri.

Khusus bagi Sambutan Hari Jantung, advokasi adalah ditumpukan kepada kepentingan memastikan jantung yang sihat tanpa sebarang komplikasi.