Kereta buruk antara penyumbang kes denggi

Kenderaan buruk tersadai menjadi sarang pembiakan nyamuk aedes disita MPK.
Kenderaan buruk tersadai menjadi sarang pembiakan nyamuk aedes disita MPK.
A
A
A

KLANG - Penduduk di Jalan Sungai Keramat 21 hingga 34 Taman Klang Utama di sini, menarik nafas lega apabila kenderaan buruk yang tersadai dan menjadi sarang pembiakan nyamuk aedes disita Majlis Perbandaran Klang (MPK).

MPK menerusi Jabatan Kesihatan Majlis Perbandaran Klang turut memusnahkan tempat pembiakan nyamuk sempena operasi pembersihan di kawasan perumahan berkenaan.

MPK dalam satu kenyataan memaklumkan, operasi itu dilaksanakan susulan kawasan tersebut telah mencatatkan sehingga 30 kes demam denggi dalam tempoh Januari hingga Mei.

"Operasi pembersihan khususnya di lorong belakang kawasan itu adalah sebagai satu langkah untuk mengawal penularan demam denggi yang berlaku di sekitar kawasan tersebut.

"Tindakan itu dilaksanakan menerusi operasi pembersihan Jabatan Kesihatan MPK dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Klang," kata kenyataan itu.

Turut terlibat ialah Jabatan Perkhidmatan Persekitaran, Jabatan Penguatkuasa dan KDEB Waste Management (KDEBWM) serta Persatuan Penduduk Taman Klang Utama dan penduduk sekitar.

MPK menambah, antara aktiviti lain dijalankan adalah taklimat pencegahan dan pengawalan demam denggi, gotong-royong kendiri, pameran dan agihan risalah, abate, aerosol dan repellent kepada penduduk setempat.