Permohonan notis merah menantu Muhyiddin: PDRM tunggu maklumat SPRM

Laporan Sinar Harian Ogos lalu.
Laporan Sinar Harian Ogos lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis masih sedang menunggu beberapa maklumat lanjut berkaitan aspek teknikal diperlukan daripada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum memohon senarai notis merah Polis Antarabangsa (Interpol) terhadap menantu bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Difahamkan, aspek teknikal itu termasuklah maklumat dari sudut perundangan dan kesalahan.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya setakat ini sedang menunggu beberapa maklumat sebelum menghantar permohonan kepada Interpol.

“Beberapa aspek teknikal (maklumat) diperlukan yang sedang kita tunggu berkaitan permohonan tersebut.

“Apabila dilengkapkan kemudian baru kita hantar permohonan rasmi (kepada Interpol),” katanya ketika sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur pada Jumaat.

Ogos lalu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memberikan kerjasama kepada SPRM berhubung kes membabitkan Muhammad Adlan, 48 serta peguam, Mansoor Saat, 69.

Kedua-dua individu ini dikehendaki tampil ke SPRM bagi tujuan pendakwaan kes rasuah dan penyelewengan berhubung projek berkaitan pendaftaran, pengambilan serta penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian.

Kedua-dua mereka dipercayai melarikan diri dari negara ini pada Mei lalu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, ditanya mengenai perkembangan kes membabitkan peguam 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jasmine Loo Ai Swan yang ditahan dan hartanya bernilai RM93.2 juta yang disita PDRM sebelum ini, Ayob Khan berkata, siasatan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan telah diselesaikan.

"Kertas siasatan telah dirujuk ke Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut," katanya.