PDRM terima permohonan notis merah kes menantu Muhyiddin

Razarudin
Razarudin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menerima permohonan lisan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengenakan notis merah berkaitan kes melibatkan menantu kepada bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan SPRM berhubung bantuan yang diperlukan.

"Tindakan akan dijalankan berdasarkan maklumat yang diberikan dan permohonan notis merah yang mana kita terima secara lisan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di Mess Pegawai Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini pada Selasa.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan melihat sebarang bentuk bantuan yang diperlukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes melibatkan menantu kepada bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya sentiasa terbuka dalam memberikan kerjasama dalam melibatkan bantuan kepada mana-mana agensi.

Sinar Harian pada Rabu lalu melaporkan, SPRM akan meminta kerjasama Jabatan Imigresen bagi membekukan pasport Muhammad Adlan, yang merupakan menantu Muhyiddin dan seorang lagi individu kerana diperlukan bagi isu rasuah, penyelewengan berhubung projek berkaitan pendaftaran, pengambilan serta penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian.

Bagaimanapun, Muhammad Adlan dalam satu kenyataan melalui peguam, Datuk Baljit Singh Sidhu menafikan beliau lari daripada pihak berkuasa dan menyatakan akan pulang ke tanah air bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

Pada Isnin lalu, SPRM menerusi kenyataan memaklumkan bahawa pihaknya sedang mengesan dua lelaki bagi membantu siasatan kes rasuah dan penyelewengan berhubung projek berkaitan pendaftaran, pengambilan serta penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian.

SPRM dalam satu kenyataan berkata, dua individu yang dikesan itu ialah Muhammad Adlan Berhan, 48, dengan alamat terakhir di Lot 65, Sunway Kiara Hills, Jalan 32/70A Desa Sri Hartamas, Kuala Lumpur, manakala individu kedua, Mansoor Saat, 69, yang beralamat terakhir di 5 Jalan SS19/1C Subang Jaya, Selangor.

ARTIKEL BERKAITAN: SPRM kesan dua individu termasuk menantu Muhyiddin

Muhyiddin enggan ulas status menantu dicari SPRM

Muhyiddin dicabar dedah lokasi menantu, bantu siasatan SPRM