Menantu Muhyiddin nafi larikan diri ke luar negara - Peguam

Laporan Sinar Harian pada Isnin.
Laporan Sinar Harian pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Menantu Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan telah melarikan diri ke luar negara atau gagal dikesan bagi membantu siasatan kes rasuah dan penyelewengan projek berkaitan pendaftaran, pengambilan serta penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian.

Menerusi satu kenyataan media, peguam, Datuk Baljit Singh Sidhu bagi pihak Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan berkata, menjadi hak anak guamnya untuk bergerak bebas termasuk ke luar negara, lebih-lebih lagi bagi urusan perniagaannya.

Baljit Singh berkata, siaran media berhubung kenyataan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Isnin lalu memberi tanggapan bahawa anak guamnya sebagai seorang pelarian tidak sepatutnya berlaku.

"Beliau tidak pernah ditangkap atau dipanggil oleh SPRM untuk membantu dalam mana-mana penyiasatan.

"Sebaliknya anak guam kami pernah dihubungi oleh pegawai SPRM kemudian beliau menjawab kenyataan secara bertulis bertarikh 3 Jun lalu, selain memaklumkan berada di luar negara kerana urusan perniagaan," kata peguam itu.

Beliau turut menafikan bahawa anak guamnya tidak boleh dihubungi kerana sentiasa bekerjasama dan berkomunikasi dengan pegawai penyiasat kes itu.

Katanya, tindakan SPRM dikatakan 'memburu' dan menuding jari menyebabkan imej Muhammad Adlan tercalar.

Sedangkan beliau berkata, jadual perjalanan ke luar negara Muhammad Adlan telah disalurkan kepada pihak SPRM malah dia akan kembali semula ke tanah air sejurus tugasnya selesai.

Artikel Berkaitan:

"Muhammad Adlam akan pulang ke Malaysia secepat mungkin untuk menjawab semua soalan dan membantu SPRM dalam sebarang siasatan dan berharap unsur-unsur ancaman dan penganiayaan ini dihapuskan," katanya.

Pada Isnin lalu, SPRM mengeluarkan kenyataan media untuk mengesan dua lelaki bagi membantu siasatan kes rasuah dan penyelewengan berhubung projek berkaitan pendaftaran, pengambilan serta penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian.

ARTIKEL BERKAITAN: SPRM kesan dua individu termasuk menantu Muhyiddin

Muhyiddin enggan ulas status menantu dicari SPRM

Muhyiddin dicabar dedah lokasi menantu, bantu siasatan SPRM