Cuepacs harap diskaun cukai, gaji naik RM300

Pemberian diskaun cukai pendapatan sekurang-kurangnya 30 peratus kepada semua penjawat awam adalah antara perkara yang dinanti-nantikan. (Foto Bernama) Gambar kecil: Adnan
Pemberian diskaun cukai pendapatan sekurang-kurangnya 30 peratus kepada semua penjawat awam adalah antara perkara yang dinanti-nantikan. (Foto Bernama) Gambar kecil: Adnan
A
A
A

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mengharapkan kerajaan mempertimbangkan diskaun cukai pendapatan, kenaikan gaji, bonus dan meningkatkan jumlah pengiraan pencen dalam Belanjawan 2024.

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, pemberian diskaun cukai pendapatan sekurang-kurangnya 30 peratus kepada semua penjawat awam adalah antara perkara yang dinanti-nantikan.

Menurutnya, buat masa ini, bayaran potongan cukai bulanan (PCB) oleh penjawat awam adalah pendahuluan cukai tahun semasa yang mana akan dilaporkan pada Mac tahun berikutnya.

“Pemberian diskaun ini sekurang-kurangnya akan memberikan sedikit kelegaan kepada penjawat awam apabila gaji bersih yang dinikmati mereka sedikit meningkat,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambah Adnan, sempena Belanjawan 2024 juga, pihaknya mengharapkan kerajaan mempertimbangkan untuk menaikkan gaji secara tambahan sebanyak RM300 kepada semua penjawat awam.

Jelasnya, kenaikan gaji itu dapat membantu penjawat awam menghadapi peningkatan kos sara hidup semasa.

“Cuepecs berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas komitmen kerajaan untuk memperbaiki kualiti kehidupan penjawat awam melalui kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam melibatkan sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan dalam perkhidmatan awam.

“Sementara menunggu sistem saraan tersebut dimuktamadkan, kita memohon kerajaan menaikkan gaji.

Artikel Berkaitan:

“Ia juga boleh meningkatkan gaji bersih (take-home pay) serta memberi kelegaan kepada penjawat awam sementara menunggu tempoh sistem saraan baharu dilaksanakan pada 2025,” jelasnya.

Pada masa sama, kongres berkenaan berharap pertimbangan bonus minimum satu bulan setengah gaji kepada penjawat awam.

Katanya, kali terakhir penjawat awam menerima bonus satu setengah bulan gaji atau minimum RM1,500 adalah pada 2012 dan selepas itu hanya diberikan bantuan khas kewangan.

“Kerajaan juga wajar untuk meningkatkan jumlah pengiraan pencen kepada jumlah tahun perkhidmatan sehingga 35 tahun bagi memaksimumkan nilai yang bakal diterima apabila mereka bersara kelak.

“Pelaksanaan pengiraan baharu ini mampu meningkatkan kualiti hidup pesara kerajaan yang telah memberi khidmat terbaik mereka sepanjang bertugas dalam perkhidmatan awam,” ujar beliau.