JBPM rancang tempatkan helikopter di Sabah

Helikopter Mi-171 yang digunakan untuk membantu misi kemanusian di Pensiangan berpangkalan di Miri, Sarawak. (Gambar kecil: Abdul Razak)
Helikopter Mi-171 yang digunakan untuk membantu misi kemanusian di Pensiangan berpangkalan di Miri, Sarawak. (Gambar kecil: Abdul Razak)
A
A
A

NABAWAN - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam perancangan untuk proses perolehan helikopter untuk ditempatkan di Sabah.

Bagaimanapun, Pengarah JBPM Sabah, Abdul Razak Muda berkata, pihaknya masih mencari lokasi yang sesuai untuk dijadikan pangkalan.

"Kita sedang mencari 'based' yang sesuai. Proses sedang berjalan mungkin secara sewaan (pangkalan).

Namun saya tidak dapat janji mungkin tahun depan tapi memang ada perancangan.

"Bomba mungkin dalam proses perolehan helikopter yang lain.

Cuma saya tak dapat janji sama ada Mi-171 atau Agusta.

"Untuk misi kemanusiaan hari ini kita guna helikopter jenis Mi-171 kerana ia lebih sesuai untuk membawa beban yang banyak," katanya ketika mengetuai misi kemanusian menghantar bekalan makanan ke Pensiangan melalui pengangkutan udara di sini pada Rabu.

Beliau sebelum diminta mengulas mengenai keperluan untuk pesawat ringan JBPM ditempatkan di negeri ini termasuk untuk kegunaan misi kemanusiaan seperti yang dilakukan itu.

Artikel Berkaitan:

Misi kemanusiaan yang membawa kira-kira 11 tan bekalan makanan untuk disalurkan kepada penduduk di sekitar Pensiangan kali ini menggunakan helikopter Mi-171 yang berpangkalan di Miri, Sarawak.

Diminta mengulas lanjut mengenai anggota yang berkemahiran mengendalikan pesawat tersebut, beliau menjelaskan bahawa pasukan JBPM sudah tentu mempunyai juruterbangnya sendiri untuk ditempatkan di Sabah kelak.

"Secara asasnya juruterbang yang dilatih adalah dari seluruh Malaysia, di mana saja mereka berada, mereka akan ditempatkan di Sabah andai kata kita sudah mempunyai pangkalan dan juga helikopter nanti.

Jadi tidak semestinya orang Sabah kena jadi juruterbang," jelasnya.

Sementara itu, diminta mengulas persediaan JBPM Sabah menghadapi situasi banjir di negeri ini, Abdul Razak memaklumkan pihaknya sudah melakukan persediaan sejak tahun lalu lagi.

"Baru-baru ini kita hadapi banjir di Beaufort namun masih terkawal dan kita jangkakan kelaziman di Sabah dan Sarawak ini banjir datang lambat sedikit berbanding di Semenanjung.

"Di Semenanjung biasanya bermula antara bulan Oktober, November dan Disember tetapi di Sabah berkemungkinan bermula dari November dan kadang-kadang berlanjutan sehingga ke Februari.

"Tahun ini sepatutnya ada musim kemarau tetapi kalau perasan sepanjang tahun kita ada hujan dan secara asasnya kami telah bersedia sejak tahun lalu lagi," katanya.

Tambah beliau lagi, dari segi persediaan aset juga turut menjadi keutamaan malah JBPM Sabah menerima banyak sumbangan termasuk daripada badan bukan kerajaan (NGO) dan kerajaan negeri Sabah sendiri.

"Tahun lepas kita dapat banyak sumbangan daripada NGO yang menyumbang bot sesuai untuk situasi banjir.

Bot yang bomba miliki sesuai untuk di laut dan sungai besar tetapi untuk situasi banjir keperluannya lain.

"Jadi tahun lepas kami dapat 10 bot dan tahun ini kerajaan negeri berjanji untuk beri lagi 15 bot, jadi saya ambil peluang untuk ucap terima kasih kepada kerajaan Sabah," katanya.