Terap empat sifat Rasulullah bentuk Malaysia Madani

Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Selangor di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Shah Alam pada Khamis.
Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Selangor di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Shah Alam pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Empat sifat Rasullulah SAW wajar diterapkan dalam diri setiap pemimpin dalam memenuhi aspirasi kerajaan untuk membentuk Malaysia Madani.

Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Haris Kasim berkata, empat sifat itu adalah siddiq, amanah, tabligh dan fatanah perlu diberikan penekanan serta dijadikan asas penting seorang pemimpin.

Menurutnya, pemimpin berkualiti adalah pemimpin yang menekankan nilai-nilai tambah daripada empat sifat tersebut dan daripada pemimpin-pemimpin inilah, negeri Selangor dapat menuju ke arah yang maju serta berkebajikan.

"Empat sifat wajib Rasulullah SAW yang menjadi teras qudwah hasanah perlu diikuti setiap umat Islam khususnya dalam memimpin masyarakat ke arah lebih baik.

"Oleh itu, keperibadian unggul baginda Rasulullah ini perlulah dijadikan sebagai ikon pemimpin berperibadi tinggi, yang sentiasa relevan sepanjang zaman," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Selangor di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Shah Alam di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada Khamis.

Ujar Haris, setiap daripada pemimpin mempunyai tanggungjawab yang perlu digalas, apatah lagi tanggungjawab yang diberikan perlu dilaksanakan dengan sebaik mungkin.

Namun menurutnya, pangkat dan kedudukan yang diberikan bukanlah merupakan sesuatu yang hendak dibanggakan tetapi ia merupakan amanah yang akan dipersoalkan oleh ALLAH SWT.

Artikel Berkaitan:

"Oleh itu, tunaikanlah tanggungjawab masing-masing dengan baik kerana tiada sesuatu lebih menggembirakan melainkan apabila sesuatu yang dilaksanakan itu diambil perhatian oleh ALLAH dengan balasan yang selayaknya," tambahnya.