Pengendali makanan bazar Ramadan wajib pakai sarung tangan

Sivanesan turut mengambil sampel air di sebuah gerai dalam pemeriksaan yang dilakukan di Bazar Ramadan Stadium Perak, di sini hari ini.
Sivanesan turut mengambil sampel air di sebuah gerai dalam pemeriksaan yang dilakukan di Bazar Ramadan Stadium Perak, di sini hari ini.
A
A
A

IPOH - Semua pengusaha gerai dan pengendali makanan di bazar Ramadan diwajibkan mengguna sarung tangan untuk memastikan kebersihan makanan yang dijual.

Exco Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia Perak, A Sivanesan berkata, arahan tersebut dikeluarkan bagi memastikan makanan yang dijual di bazar Ramadan bersih dan tidak tercemar.

Katanya, sejak 13 Mei lalu, sebanyak 1,704 gerai bazar Ramadan diperiksa Jabatan Kesihatan Perak dengan 1,575 gerai mendapat penilaian melebihi 80 peratus.

"Pada masa sama 16 notis kesalahan dikeluarkan di bawah Seksyen 32B Akta Makanan 1983 atas pelbagai kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 seperti tidak mendapat suntikan typhoid.

"Seramai 4,033 pengendali makanan telah diperiksa dan sebanyak 61 sampel makanan diambil iaitu 54 sampel makanan untuk analisa mikrobiologi, lima sampel untuk analisa kimia dan dua sampel untuk analisa fizikal. Hasil analisa dibuat memuaskan," katanya kepada pemberita selepas membuat pemeriksaan di Bazar Ramadan Stadium Perak, di sini hari ini.

Sivanesan memeriksa sebuah gerai di Bazar Ramadan Stadium Perak, di sini hari ini.
Sivanesan memeriksa sebuah gerai di Bazar Ramadan Stadium Perak, di sini hari ini.

Sivanesan berkata, pemeriksaan tersebut merupakan rutin setiap tahun membabitkan agensi seperti Jabatan Kesihatan Negeri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan pihak berkuasa tempatan lain.

Mengenai suntikan typhoid, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap pengusaha makanan yang tidak mendapatkan suntikan tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Kali ini kita beri amaran. Jika selepas ini kita jumpa ada pengusaha makanan tak ambil typhoid, tindakan keras akan diambil.

"Kita bukan suka sangat buat tindakan seperti ini, tetapi suka tak suka kita terpaksa buat demi kepentingan awam," katanya.

Menurut Sivanesan, pihaknya tidak mahu berlaku kejadian keracunan makanan di bazar Ramadan seperti tahun lalu di Titi Gantung, Bota.

Pada bulan Jun tahun lalu, Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun meninggal dunia, selepas mengalami gejala sakit perut, cirit birit dan muntah dipercayai akibat keracunan makanan.

Selain mangsa, tujuh lagi ahli keluarganya mengalami gejala sama terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Manjung dipercayai daripada makanan yang dibeli di bazar Ramadan.