PRK Pelangai: BN ada kelebihan jika jadi wakil rakyat - Ismail Sabri

Ismail Sabri turun berkempen bersama Amizar di Felda Chemoimoi pada Rabu.
Ismail Sabri turun berkempen bersama Amizar di Felda Chemoimoi pada Rabu.
A
A
A

BENTONG - Barisan Nasional (BN) mempunyai kelebihan untuk memenuhi keperluan pembangunan dan kebajikan penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai sekiranya wakil rakyat parti itu dipilih dalam pilihan raya kecil (PRK) 7 Oktober nanti.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini kerana kerajaan negeri berada di bawah pentadbiran BN sekali gus memudahkan kesinambungan dan perancangan sebarang projek untuk kawasan tersebut.

Justeru katanya, peluang perlu diberikan kepada calon BN agar meneruskan semula perancangan di samping memudahkan suara mereka dapat diketengahkan kepada kerajaan.

"Tadi dengar satu aduan berkenaan satu projek yang diluluskan tapi dibatalkan. Tetapi dengan adanya ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) BN, kita boleh menyuarakan kembali. Itu kelebihan kepada BN kerana boleh bawa terus pembangunan kepada rakyat.

"Jika pembangkang menang, mereka tidak mampu buat, jadi kena pandai pilih walaupun dua calon daripada kampung sama, tapi siapa boleh bantu rakyat sama ada BN atau lain," katanya ketika ditemui pemberita selepas turun berkempen bersama calon BN, Datuk Amizar Abu Adam di Felda Chemoimoi di sini pada Rabu.

PRK DUN Pelangai diadakan setelah kerusi itu diisytiharkan kosong susulan kematian penyandangnya daripada BN, Datuk Seri Johari Harun yang terlibat nahas pesawat ringan di Elmina, Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu.

BN meletakkan Amizar selaku anak tempatan, manakala Perikatan Nasional (PN) sekali lagi menampilkan semula bekas guru yang juga calon gabungan itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, Kasim Samat, 62.

Seorang lagi calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli juga disahkan bertanding.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ismail Sabri yang juga Ketua Bahagian UMNO Bera berkata, BN perlu bekerja keras untuk menang kerusi Parlimen Kemanan sekiranya PRK diadakan dalam masa terdekat.

Ia susulan Keputusan Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamidi pada Selasa.

Ismail berkata, PN memiliki kelebihan di Parlimen itu berbanding BN kerana Kemaman terletak di bawah Kerajaan Terengganu yang dikuasai Pas.

"Kalau ada PRK, kelebihan pada mereka kerana kerajaan bawah mereka...seperti di Pelangai, calon pembangkang di DUN kerajaan. Di sana Parlimen di bawah Pas, maka kelebihan pada mereka.

"Jadi kita kena kerja kuat, walaupun tiada perpecahan dalaman sesama sendiri, Insya-ALLAH parti boleh menang," katanya.