PRK Pelangai: Felda masih kubu kuat BN - Ismail Sabri

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

BENTONG - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menolak dakwaan Perikatan Nasional (PN) bahawa penempatan Felda kini bukan lagi kubu kuat UMNO.

Sebaliknya, beliau yakin warga Felda setia menyokong Barisan Nasional (BN) khususnya dalam mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.

"Untuk di DUN Pelangai ini terdapat tiga kawasan Felda dan ketika PRU15 semua menang. Mungkin banyak kalah Felda lain.

"Jadi kita masih menganggap Felda ini sebagai kubu kuat UMNO dan BN," katanya ditemui ketika program turun padang di Felda Kemahal, di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai kenyataan dibuat Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man bahawa Felda kini bukan lagi kubu kuat BN, ketika ceramah umum Perikatan Nasional (PN) pada Ahad.

Menurut Tuan Ibrahim, perkara itu terbukti apabila sokongan peneroka dilihat sudah beralih kepada PN dalam pilihan raya baru-baru ini.

DUN Pelangai meliputi tiga penempatan Felda iaitu Felda Chemomoi, Felda Kemasul dan Felda Kemahal.

Berdasarkan rekod daftar pemilih Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) terdapat 7,983 pengundi bagi ketiga-tiga felda tersebut berbanding 16,456 pengundi keseluruhannya.

Artikel Berkaitan:

Pada Isnin, calon BN, Datuk Amizar Abu Adam menyifatkan kenyataan Tuan Ibrahim sebagai sekadar cakap-cakap politik ketika musim kempen PRK.

Tegasnya, apa pun dakwaan yang dilemparkan, selaku anak Felda, beliau yakin dengan sokongan yang ada.