Suami berkorban jaga isteri terlantar

SUNGAI PETANI - Seorang wanita warga emas sebak mengenangkan dirinya yang terlantar serta perlu bergantung harap kepada suami sepanjang masa sehingga menyebabkan ketua keluarga itu tidak dapat keluar bekerja bagi menyara kehidupan.
Santariyah Bakar, 65, dari Taman Sutera Jaya yang menghidap sakit tulang rawan tergelincir sejak 2013 berkata, hatinya semakin sayu apabila mereka tiada punca pendapatan serta mengharapkan sumbangan orang ramai semata-mata.
"Tak tahu nak mengadu pada siapa. Saya tak dapat uruskan diri, suami pula tidak boleh bekerja dan kena bantu walau nak ke tandas," jelasnya kepada kakitangan Econsave Bandar Puteri Jaya yang menziarahinya di rumah pada Isnin.
Suami Santariyah, Mahat Hashim, 70, berkata, sekiranya ada keperluan untuk keluar membeli barangan, dia perlu pulang segera kerana risaukan keadaan isteri sekiranya diserang penyakit secara tiba-tiba.